‘Kami berbeza, saya bawa sentuhan milenial, Aisha lebih Gen Z’

BAKAL menghidupkan watak ikonik Gusti Puteri Retno Dumilah menerusi pementasan semula Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM), pelakon Mila Mohsin berharap persembahan lakonannya tidak dibandingkan dengan penyanyi, Aisha Retno.

Mila atau nama sebenarnya Hani Karmila Hani Mohsin, 29, percaya setiap pelakon mempunyai pendekatan, warna dan tafsiran tersendiri dalam menghidupkan karakter berkenaan.

“Sudah tentu, asas watak Puteri akan kekal sama. Jalan cerita dan perjalanan emosinya masih berpaksikan kisah asal, begitu juga semangat serta elemen cinta dalam naskhah ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagaimanapun, saya dan Aisha adalah dua individu berbeza, begitu juga pendekatan kami sebagai penghibur. Bagi saya, perkara itu sebenarnya menarik kerana penonton berpeluang melihat sisi berbeza daripada watak sama.

“Mustahil untuk meminta orang berhenti membandingkan kami sepenuhnya kerana perkara itu mungkin tetap berlaku. Namun, saya merasakan perbandingan tersebut agak kurang tepat kerana kami menawarkan dua pengalaman berbeza, ibarat membandingkan dua perkara daripada kategori berlainan,” katanya dalam sebuah program audio siar.

Tambah Mila, perbezaan latar generasi dan pengalaman hidup turut mempengaruhi cara seseorang pelakon mentafsir emosi serta menghidupkan sesuatu babak.

“Barangkali ada babak Puteri versi saya menonjolkan emosi tertentu, manakala versi Aisha pula memperlihatkan sisi berbeza. Mungkin saya membawa sedikit sentuhan generasi milenial, sementara Aisha pula lebih dekat dengan jiwa Gen Z.

“Bagi saya, itulah keistimewaannya. Kita tidak sepatutnya melihat perbezaan tersebut sebagai persaingan, sebaliknya peluang untuk menikmati dua tafsiran berbeza terhadap watak sama,” ujarnya.

Bintang drama Good Boys Go To Heaven itu menyifatkan sikap terlalu sibuk membandingkan kedua-dua pelakon sebagai sesuatu yang merugikan kerana penonton sepatutnya meraikan kelainan dibawa setiap penghibur.

Katanya, peluang menyaksikan dua pelakon menghidupkan karakter sama memberikan dimensi baharu kepada karya teater berkenaan, sekali gus membolehkan penonton menikmati pengalaman lebih pelbagai.

“Saya berharap orang ramai dapat melihat perkara ini dari sudut tersebut. Sayang sekali apabila masa dihabiskan untuk membandingkan kami, sedangkan mereka sebenarnya boleh teruja melihat dua versi berbeza.

“Sepatutnya kita berkata, ‘Wah, menariknya!’ kerana berpeluang menyaksikan pembaharuan dan pendekatan berbeza. Bukankah itu lebih menyeronokkan?,” jelasnya.

Selepas hampir dua dekad sejak pementasan asal pada 2006, PGLM bakal kembali menemui peminat menerusi pementasan semula dari 31 Oktober hingga 15 November 2026 di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square, Selangor.

Naskhah terbitan Enfiniti itu diterajui Penerbit Eksekutif, Puan Seri Tiara Jacquelina, dengan pendekatan kreatif lebih segar dan sinematik bagi menghubungkan nostalgia peminat lama dengan penonton generasi baharu.

Selain Mila dan Aisha sebagai Gusti Puteri Retno Dumilah, watak pahlawan legenda Hang Tuah bakal dibawakan oleh Aqasha. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok