Dayangku Iffah, Hafiz Zainal tersingkir CSOIAM

IPERJUANGAN Dayangku Iffah dan Hafiz Zainal dalam Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) ternoktah sebaik diumumkan sebagai peserta yang tersingkir pada konsert minggu ketiga program realiti itu, malam tadi.

Mereka meraih markah terendah berbanding lapan lagi peserta lain selepas penilaian juri tetap, Datuk Yusry Abdul Halim, Ziana Zain dan Cakra Khan serta juri jemputan, Ernie Zakri.

Ini bermakna, Zazzleen, Eylia Guntabid, Marian, Kai Deva, Alya Mardien, Marygrace, Jimi dan Rezza Shah meneruskan kemaraan untuk minggu keempat yang bertemakan Sinergi Muzik, Ahad depan.

Marygrace yang membawakan lagu Memori Tercipta nyanyian asal Shila Amzah pula diumumkan sebagai peserta Terpaling Fizz.

Bakat asal Keningau, Sabah itu menonjolkan persembahan memukau, sekali gus berpeluang berduet dengan papa rock, Datuk Ramli Sarip, minggu depan.

Yusry berkata, penampilan Marygrace tampak lebih menonjol kerana mempunyai keyakinan tinggi sehingga menyerlahkan keseluruhan persembahannya.

Jangan terlalu fokus terhadap aspek tertentu sahaja kerana juri turut melihat banyak lagi sudut lain ketika penilaian pemarkahan.

“Kena serlahkan diri, lihat Ernie Zakri ketika persembahan penutup tadi. Dia hanya berdiri, namun keyakinan di atas pentas menonjolkan aura tersendiri,” katanya pada sidang media usai konsert di Studio TV3, Glenmarie.

Penilaian markah kepada peserta ditentukan juri tetap sebanyak 60 peratus, manakala 40 peratus lagi berdasarkan undian penonton.

CSOIAM menawarkan hadiah lumayan berupa wang tunai RM500,000, sebuah kereta bernilai RM200,000 dan kontrak rakaman eksklusif di bawah Alternate Records & Talents selama dua tahun kepada juara.

Begitupun, hanya empat finalis akan dipilih untuk berentap pada konsert akhir yang dijadualkan berlangsung pada 9 Februari depan. – HIBGLAM

 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok