‘Kami sudah lama kenal, kalau kahwin ini yang ketiga’

SELEPAS dua kali bercerai, vokalis kumpulan OAG, Radhi mengakui lebih berhati-hati dalam soal hati, terutama apabila membabitkan hasrat mendirikan rumah tangga buat kali ketiga.

Enggan mengulangi sejarah sama, Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali, 49, berkata, aspek paling utama sebelum melangkah ke alam perkahwinan ialah mencari sakinah atau ketenangan, selain memastikan hubungan antara pasangan dan anak-anak berada dalam keadaan baik.

Kalau nak cakap soal mengenali, kami sudah lama kenal, cuma saya enggan meletakkan sebarang tekanan. Apa paling penting, saya mahu mendapatkan sakinah terlebih dahulu.

“Kalau tiada sakinah, tiada gunanya. Kalau kahwin, ini akan jadi perkahwinan ketiga saya. Mawaddah dan rahmah itu datang selepas berkahwin, tetapi sakinah perlu dicari terlebih dahulu.

“Saya juga perlu melihat sama ada dia boleh menerima anak-anak saya dan adakah anak-anak saya mampu menerimanya. Saya sendiri perlu fikir sama ada mampu mengendalikan rumah tangga buat kali ketiga,” katanya kepada HibGlam.

Ditanya mengenai kemungkinan mengakhiri zaman bujang dalam masa terdekat, pelantun lagu Generasiku itu mengakui perbincangan ke arah itu memang ada, namun enggan menetapkan sebarang tempoh kerana percaya soal jodoh ketentuan Allah SWT.

“Bukan dalam masa terdekat sangat, mungkin terdekat atau mungkin tidak. Perkara ini kerja Allah. Perbincangan ke arah itu memang ada, tetapi saya tidak mahu meletakkan tekanan.

Benda ini tidak menunggu masa. Apabila tiba masanya, saya perlu bersedia untuk berjumpa ibu bapa dia dan berbincang dengan baik. Itu sahaja,” ujarnya pada sidang media 2 Konsert 2 Generasi 2026, semalam.

Paling penting kata Radhi, anak-anaknya sudah mengenali wanita berkenaan sejak kecil, malah hubungan tersebut turut mendapat tempat istimewa dalam keluarganya.

“Anak-anak memang mengenalinya sejak kecil. Tidak mungkin mereka tidak kenal.

Senang cerita, dia sangat disayangi arwah ibu saya. Selepas ibu meninggal dunia, dia antara individu terakhir pernah mendapat kasih sayang daripada ibu.

“Namun, buat masa ini kami hanya berkawan. Saya ada mengenali beberapa orang lain juga, cuma hubungan dengan mereka tidak sampai ke tahap seperti ini,” kongsinya.

Dalam perkembangan lain, dua nama besar dalam perjalanan muzik alternatif Malaysia, OAG dan The Times bakal berkongsi pentas menerusi Disko Dansa Generasiku, pada 10 Oktober 2026 di Odeon KL.

Pertemuan tersebut bukan hanya menghimpunkan dua kumpulan muzik dalam sebuah persembahan malah menemukan dua generasi serta era berbeza dalam perkembangan muzik alternatif tempatan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok