‘Kami berdiri bersama Palestin’ – Fly FM henti putar lagu Ed Sheeran

STESEN radio bahasa Inggeris tempatan, Fly FM mengambil pendekatan untuk berhenti memainkan lagu penyanyi Britain, Ed Sheeran, daripada senarai putaran lagunya susulan kontroversi membabitkan rapper Amerika Syarikat, Macklemore, yang disingkirkan daripada konsert jelajah Loop Tour Sheeran.

Fly FM mengumumkan keputusan itu menerusi hantaran dalam media sosial pada 18 September dengan mesej ‘Off our playlist! Some things matter more than music’.

Dalam kenyataan tersebut, stesen berkenaan menyatakan pendirian menyokong rakyat Palestin serta artis yang menggunakan platform mereka untuk menyuarakan pendirian mengenai isu berkenaan.

“Anda mungkin pernah melihat berita tentang Macklemore yang digugurkan daripada Jelajah Loop selepas memperjuangkan Palestin.

Kami mahu jelas tentang pendirian kami. Fly FM berdiri bersama rakyat Palestin dan bersama artis yang menggunakan suara mereka untuk apa yang mereka percayai.

“Muzik sepatutnya memberi suara kepada orang ramai. Bukannya menghilangkannya. Kami berdiri bersama Palestin. Kami berdiri bersama seniman yang bersuara untuk mereka,” tulis mereka dalam satu hantaran Instagram.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menyokong tindakan stesen radio itu dan meminta agar lebih ramai artis yang menyokong Zionis diboikot daripada stesen radio berkenaan.

Terima kasih. Bangga dengan Fly FM. Diharapkan dapat memboikot beberapa artis lain juga yang terbuka menyokong zionis,” komen netizen.

Sebelum ini, sebuah stesen radio di Ireland iaitu Classic Hits Radio turut mengambil pendekatan yang sama selepas disarankan oleh pendengar mereka.

Mereka turut mendukung dua artis kelahiran Ireland iaitu Aaron Rowe dan Beiga yang menarik diri daripada konsert jelajah Sheeran.

Terdahulu, tindakan Sheeran menggugurkan Macklemore daripada baki konsert jelajahnya gara-gara kelantangan rapper itu menyokong Palestin mengundang amarah seluruh dunia.

Selepas disingkirkan, Macklemore mengumumkan dia akan mendermakan AS$1 juta (RM4.10 juta) kepada enam badan kebajikan yang menyokong rakyat Palestin. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok