Runsing berapa ramai lelaki terluka, Nora Danish menanti cinta sejati

PELAKON Nora Danish tertanya-tanya berapa banyak hati perlu dilukainya sebelum menemukan cinta sejati, malah mengakui perkara itu antara kebimbangan terbesar dalam perjalanan mencari pasangan hidup.

Ujar Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd. Danish Hanif, 44, ketakutan itu bukan semata-mata berpunca daripada pengalaman terluka dalam percintaan, sebaliknya lebih bimbang sekiranya tanpa sengaja mengecewakan insan baik hanya kerana hatinya belum mampu memberikan cinta sama.

“Kadangkala saya tertanya-tanya, berapa banyak hati mungkin akan saya lukakan tanpa sengaja sebelum akhirnya menemui cinta sejati.

“Saya tidak mahu terus bertemu lelaki baik, kemudian menyedari mereka bukan orangnya. Mungkin itulah perkara paling menakutkan bagi saya tentang cinta.

“Bukan soal takut terluka, tetapi takut melukakan hati seseorang yang benar-benar menyayangi saya,” katanya dalam Threads.

Perkongsian tersebut mengundang perhatian netizen namun ramai mendoakan agar bintang filem Sayu Yang Syukur itu menemui lelaki yang tepat untuk dijadikan pasangan hidup.

“Betul, serba serbi tak kena, apapun saya doakan Nora jumpa pasangan yang baik dan sesuai dengan awak kelak. Teruskan berdoa.

“Orang terluka cenderung melukakan orang lain, manakala orang sudah sembuh mampu membantu menyembuhkan orang lain,” antara komen netizen.

Sebelum ini, Nora pernah berkawan rapat dengan seorang lelaki dikenali sebagai Mickey Ayo, seorang perunding kewangan.

Bagaimanapun, hubungan tersebut tidak dapat diteruskan selepas mereka didakwa tidak menemui kesefahaman.

Terdahulu, Nora mendirikan rumah tangga bersama Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Putra Rayqal, sebelum pasangan tersebut bercerai dua tahun kemudian.

Pada 2017, Nora sekali lagi mendirikan rumah tangga bersama Nedim Nazri, namun perkahwinan mereka berakhir pada 19 Jun 2024.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang putera, Neqayl. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok