Berat badan Qilo turun 7kg, Aliff mahu perbanyakkan ‘cover song’

PESERTA Big Stage X Rocketfuel, Qilo mendedahkan berjaya menurunkan berat badan hampir 10 kilogram (kg) selepas sering mendapat nasihat daripada juri tetap program berkenaan, Akim Ahmad.

Menurut Qilo atau nama sebenarnya Aqil Azfar Mohd. Azri, 21, penurunan berat badan tersebut hasil daripada kawalan pemakanan serta aktiviti senaman yang dibantu rakan seperjuangannya, Yad-Z.

“Akim ada sarankan saya kuruskan badan untuk saya nampak elok atas pentas atau televisyen dan saya ada buat senaman dengan Yad-Z.

“Dia banyak ajar saya soal pemakanan dan senaman. Saya buat dalam tempoh tiga minggu.

Jadi, alhamdulillah saya dah turun sikit, tak banyak sebab saya perlu makan juga untuk tenaga. Kali terakhir periksa turun dalam 7kg,” katanya usai program Big Stage X Rocketfuel, semalam.

Dia juga bersetuju dengan pandangan Akim memandangkan aspek penampilan memainkan peranan penting dalam industri hiburan tempatan.

Saya setuju sangat dengan kenyataan Akim sebab dalam industri kita bukan hanya bakat dan suara, dari segi wajah dan penampilan pun kena kemas serta nampak elok,” ujarnya.

Diumumkan tersingkir, Qilo bertekad mahu menjadi seorang penyanyi versatil dan cuba mengetengahkan genre kesukaannya iaitu Jazz dan R&B.

Perancangan saya, nak jadi seorang artis ‘multi talented’ yang mana boleh melukis dan menghasilkan lagu. Saya nak mengetengahkan genre Jazz serta R&B.

“Saya nak cuba kenakan selera dengan masyarakat Malaysia. Saya nak cuba kalau ada rezeki, insya-Allah.

“Perancangan saya nak cuba ikut apa yang orang Malaysia suka dahulu dan perlahan-lahan perubahan untuk ke genre-genre sebegitu,” jelasnya.

Sementara itu, Aliff Kimiey yang turut tersingkir masih belum ada perancangan mahu meneruskan kerjaya sebagai penstriman dan akan aktif melakukan cover dalam media sosial.

“Pelan lain tak ada lagi tapi insya-Allah kalau ada apa-apa perancangan saya akan kemas kini dari semasa ke semasa. Sebelum ini saya kerja sendiri sebagai ‘streamer’ TikTok.

Mungkin saya akan lebih ke arah muzik selepas ini. Sudah tentu saya akan banyak buat cover supaya orang mengenali saya sebab saya dah ada platform.

“Lepas habis Big Stage memang saya akan lebih rajin untuk buat cover, insya-Allah,” ujarnya.

Semalam, Qilo dan Aliff diumumkan tersingkir pada pentas separuh akhir Big Stage X Rocketfuel.

Keputusan tersebut sekali gus melayakkan enam peserta iaitu Ranisha, Adam Nazmie, Hussain, Yad-Z, Danny dan Danial Kifli ke pentas akhir pada minggu hadapan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok