BEBERAPA kes kematian kanak-kanak di pusat asuhan membuatkan pengacara Uyaina Arshad bimbang untuk menghantar anak-anaknya ke taska.
Menurut Uyaina, 33, sebagai seorang ibu, kerisauan tersebut muncul setiap kali membaca kes-kes kematian kanak-kanak yang seusia dengan anaknya.
“Hancur hati baca luahan hati seorang ibu yang baru sahaja kehilangan anak.
“Nak cari taska atau tadika, semua itu buat saya jadi takut sebenarnya, nauzubillah,” katanya dalam Instagram Story selepas memuat naik kisah seorang wanita yang berkongsi tentang kematian anaknya didakwa berlaku di sebuah taska.
Dalam pada itu, hos program buat bicara, Wanita Hari Ini itu menasihatkan golongan ibu bapa melakukan inisiatif sendiri dengan membuat pemeriksaan mengenai mana-mana taska atau tadika sebelum menempatkan anak mereka.
“Antara langkah yang boleh kita ambil sebagai ibu bapa ialah kenal pasti dulu sama ada taska tu berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Jika berdaftar dan berlaku sebarang kejadian, kita boleh ambil tindakan dan taska tersebut akan disiasat serta ditutup.
“Salam takziah untuk ibu dan ayah baby Handzalah. Semoga kalian bertemu semula di syurga nanti,” ujarnya.
Sejak beberapa hari lalu, tular kisah seorang wanita yang sedih dan kecewa dengan tindakan sebuah taska selepas anaknya disahkan meninggal dunia ketika dalam tempoh jagaan di premis tersebut. – HIBGLAM