‘Celik mata terus fikir komitmen, saya takut, teramat penat…’

BAGI peminat tegar Akademi Fantasia pasti mengenali Elliza Razak yang merupakan bekas peserta musim ketiga program realiti popular berkenaan.

Elliza kemudian bergerak aktif dalam dunia lakonan dan terkenal menerusi beberapa naskhah popular seperti Impian Illyana dan Kisah Kaisara.

Tidak lama selepas itu, dia mendirikan rumah tangga dengan pengurusnya, Khairul Adzwan Nasir atau mesra disapa Joe pada 11 November 2011.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perkahwinan mereka diserikan dengan kehadiran dua cahaya mata yang kini sudah berusia 10 tahun dan 12 tahun.

Namun, perkahwinan tersebut tidak berpanjangan apabila berpisah pada Februari 2024 selain Elliza mendedahkan pernah menjadi mangsa keganasan rumah tangga dengan bekas suamiya.

Dua tahun memegang status ibu tunggal, penyanyi dan pelakon berusia 42 tahun itu mengakui masih bergelut meneruskan kehidupan dan menanggung dua anak sendirian.

“Sampai sekarang saya masih sangat ‘struggle’. Apa sahaja yang boleh menjana pendapatan, saya buat sebab fokus saya adalah untuk membesarkan anak-anak saya.

“Pada zaman ini, saya sudah tidak kejar kemewahan dunia. Saya cuma mahu selesaikan komitmen dan memenuhi keperluan asas.

“Itu pun saya sudah bersyukur dan gembira. Kalau dapat benda-benda mewah, alhamdulillah,” katanya kepada HibGlam.

Berkongsi lanjut, anak jati Kuala Kangsar, Perak itu mendedahkan tekanan hidup dirasainya setiap hari sehingga mengganggu emosi dan kesihatan mental kerana sentiasa memikirkan komitmen kewangan.

“Ibarat celik mata dari tidur, jantung saya setiap hari berdebar, saya berada dalam keadaan risau dan ketakutan.

“Saya akan terfikir, ada benda perlu bayar, komitmen atau sewa yang perlu diselesaikan.

“Benda itu buat saya jadi takut dan mengalaminya setiap hari sehingga rasa penat yang teramat sangat. Setiap hari saya rasa macam itu.

“Tapi, saya berserah kepada Allah. Saya selalu cakap kepada diri tidak mengapa, Allah ada dengan saya,” katanya lagi.

Dikejar along

Selain itu, Elliza turut menceritakan pengalaman cemas apabila dihantui ancaman pemberi pinjaman wang haram akibat tindakan bekas suaminya.

“Saya pernah pernah kena kejar dengan along. Bukan saya yang buat pinjaman tapi bekas suami saya. Saya tak tahu apa-apa mengenai pinjaman itu, tiba-tiba along WhatsApp, saya takutlah.

“Saya nak keluar rumah pun trauma dan kadang-kadang bila tiba-tiba surat datang melekat dekat depan rumah, saya risau.

“Setiap kali saya nak keluar, saya tengok dulu pagar rumah, ada benda-benda lekat atau tidak. Saya jadi takut sangat sampai sekarang,” dedahnya.

Pada masa sama, pelantun lagu Duniaku itu mengakui bimbang dengan keselamatan anak-anaknya, namun menyerahkan segala urusan kepada Allah untuk melindungi mereka sekeluarga.

“Saya risau memikirkan keselamatan anak-anak. Sebagai ibu, saya takut sangat kalau apa-apa berlaku kepada mereka. Mereka prioriti dan nyawa saya.

“Apa-apa pun, saya serahkan semuanya kepada Allah. Saya cuma minta Allah tolong jaga kami bertiga,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok