Hubungan Fatima, Jarir semakin erat – Fattah Amin

PELAKON Fattah Amin meluahkan rasa gembira melihat keakraban puteri sulungnya, Nur Fatima Aisya yang sentiasa teruja melayani adiknya, Muhammad Jarir Umar dengan penuh kasih sayang.

Menurut Fattah atau nama penuhnya, Abdul Fattah Mohd. Amin, 36, hubungan dua anaknya itu semakin hari semakin erat, malah Fatima kini sudah mula memahami peranannya sebagai seorang kakak.

“Setiap kali Fatima datang, nampak hubungan (bonding) mereka makin erat, alhamdulillah. Malah sewaktu sesi siaran langsung baru-baru ini, dia begitu teruja sehingga bertanya kepada saya sama ada boleh membawa adiknya masuk ketika bersiaran lansgung dalam TikTok.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tetapi saya jelaskan belum masanya lagi kerana adik masih kecil. Insya-Allah suatu hari nanti bila adik sudah besar sedikit, kami akan kongsikan (wajahnya).

“Saya faham ramai yang teruja dan teringin hendak melihat, cuma belum tiba masanya lagi. Fatima juga sekarang mula faham dia sudah bergelar kakak,” katanya ketika ditemui pada Anugerah Melodi Terhangat 2026 (AMT2026), baru-baru ini.

Selain keakraban dua beradik, Fattah turut berkongsi rasa syukur mengenai perkembangan tumbesaran Jarir yang sangat positif.

Alhamdulillah, Jarir sekarang dia sudah pandai meniarap sedikit demi sedikit. Sebelum ini dia hanya terlentang sahaja, tetapi sekarang tangannya semakin kuat.

“Dia sudah pandai menolak badan untuk cuba meniarap, itulah perkembangannya buat masa ini.

“Selain menguruskan Jarir, kami berdua sememangnya sentiasa sibuk melayani Fatima,” ujarnya.

Mengulas rutin kembali mengasuh bayi kecil di celah jadual kerjaya seni yang padat, pelakon tersebut mengakui tanggungjawab berkenaan menuntutnya mengorbankan waktu tidur serta persefahaman bersama isteri tercinta, Amira Othman.

“Bagi mereka yang mempunyai anak kecil, pasti faham situasi rutin bangun tengah-tengah malam untuk memberikan susu dan sebagainya, memang sudah menjadi lumrah biasa.

“Walaupun saya perlu bekerja pada waktu pagi, namun apabila mendengar anak menangis tengah malam, memamg tak boleh teruskan tidur begitu sahaja.

“Secara automatik saya akan terjaga untuk membantu isteri. Kami berdua sama-sama menggalas rutin menjaga Jarir yang kerap terjaga malam,” ujarnya

Untuk info, Amira dan pelakon Fattah Amin selamat diijabkabul pada 14 September 2025 dan dikurniakan cahaya mata pertama mereka, Jarir pada 23 Jun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok