“SEBELUM menghakimi pasukan orang lain, tak perlu tegur anak kecil dengan kasar.”
Demikian kenyataan aktor Indonesia Rizky Billar selepas pelakon Izara Aishah mengeluarkan dakwaan pasukan isterinya bersikap sombong baru-baru ini.
Tampil bersuara, Rizky turut mempersoalkan perbuatan pasukan pengurusan Izara yang mula bertindak kasar terhadap anaknya.
“Mengatakan pasukan kami tidak ada etika atau adab? Awak boleh verifikasi bahawa itu benar pasukan saya atau kawan yang saya jemput?
Sebelum awak menghakimi pasukan orang lain, tolong beritahu pasukan atau pengawal keselamatan awak lain kali kalau ada anak kecil mendekat tidak perlu menegur dengan kasar terhadap anak kecil sambil cakap ‘Don’t touch! (jangan sentuh)’.
“Mungkin itu yang menyebabkan kawan saya (yang awak fikir pasukan kami) jadi bersikap kasar terhadap awak,” katanya dalam Threads.
Menjelaskan situasi sebenar, Rizky memberitahu dia tidak berada di lokasi sewaktu kejadian berlaku, namun kesal dengan cara layanan yang diberikan terhadap anaknya.
Tambahnya lagi, walaupun memahami keperluan menggunakan khidmat pengawal peribadi demi keselamatan anak, aspek kesopanan dan budi bahasa tidak wajar diketepikan.
“Apa pun, anak yang saya maksud itu adalah anak saya dan kebetulan saya tidak berada di tempat kejadian.
Bukan cuma awak saja yang ada pengawal keselamatan. Saya juga ada dari anak saya kecil dikawal pengawal keselamatan sama seperti awak demi keselamatan penjagaan anak saya.
“Tapi saya tekankan kepada mereka untuk tetap bersikap baik terhadap siapapun,” katanya lagi.
Sebelum ini, Izara memuat naik hantaran mendakwa pasukan Lesti bersikap sombong semasa berjumpa di Konsert Tradisional gema Bumantara baru-baru ini.
Tidak lama kemudian, dia memadam hantaran tersebut namun netizen sempat menangkap layar sehingga mencetuskan perdebatan antara peminat Indonesia dan Malaysia.
Hari ini, Izara tampil memohon maaf kepada Lesti dan menyesali perbuatannya. – HIBGLAM

