PENYANYI R&B, Chris Brown berdepan konflik dengan bekas kekasihnya, Diamond Brown yang menuntut peningkatan nafkah bulanan anak perempuan mereka kepada RM200,000 sebulan, berbanding sebelum ini sekitar RM30,000.
Diamond mendakwa dia menguruskan 90 peratus penjagaan anak mereka, Lovely Symphani Brown, 4, selain mendakwa Chris tidak bertemu puteri mereka sejak tujuh bulan lalu.
Dalam dokumen mahkamah, Diamond mendakwa perbelanjaan kediaman, pendidikan, penjagaan kesihatan dan aktiviti Lovely memerlu peruntukan lebih besar termasuk meminta penyanyi itu menyediakan sebuah kediaman untuk mereka.
Pertikaian itu semakin rumit apabila Diamond turut mendakwa Chris, 37, mengganggu kehidupannya selepas hubungan mereka berakhir termasuk membuat ugutan terhadap teman lelaki baharunya, namun dinafikan pihak Chris.
Kontroversi itu turut mengheret teman wanita Chris, Jada Wallace, yang dilaporkan mengkritik Diamond menerusi media sosial susulan tuntutan nafkah berkenaan.
Nia Guzman iaitu ibu kepada anak sulung Chris juga dilaporkan mempertahan penyanyi itu dengan mendakwa lelaki terbabit bertanggungjawab terhadap anak-anaknya.
Dalam perkembangan lain, Chris turut menanti hukuman di United Kingdom pada 26 Oktober ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berkaitan insiden pergaduhan di sebuah kelab malam di London pada 2023. – HIBGLAM

