Aiman Tino ralat terbeli tali pinggang kulit babi

PENYANYI Aiman Tino mengakui ralat apabila menyedari tali pinggang dibeli isterinya di sebuah kedai dipercayai diperbuat daripada kulit babi.

Ujar Aiman atau nama sebenarnya Mohammad Aiman Yusri, 27, dia mula menyedari perkara tersebut selepas melihat tekstur pada permukaan tali pinggang itu menyerupai ciri kulit babi yang dikenali dengan corak titik tiga.

“Isteri saya ada beli tali pinggang untuk ‘standby’, beli tali pinggang murah sahaja.

“Tapi lepas pakai baru perasan dekat bawah ada bentuk titik tiga. Titik tiga macam ini adalah kulit babi bukan?

“Maaflah, saya sudah terpegang, nanti saya samak,” katanya menerusi video dalam TikTok.

Aiman turut mempersoalkan tindakan kedai tersebut menjual produk yang berpotensi menyukarkan pengguna Muslim.

Pelantun lagu Ku Rela Dibenci itu juga turut turut mempersoalkan kewajaran kedai berkenaan menjual produk sebegitu, lebih-lebih lagi di Malaysia, sebuah negara dengan majoriti pengguna Muslim.

“Persoalannya, kenapa kedai tersebut boleh jual kulit babi? Sedangkan kau tahu, kau jual di Malaysia yang ramai orang Melayu.

“Saya tak boleh biarkan benda ini. Mungkin dekat dunia kita tak rasa apa-apa, tapi dekat akhirat nanti?” luahnya.

Enggan lebih ramai terkena, Aiman menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati ketika membeli produk berasaskan kulit, terutamanya yang dijual pada harga rendah.

“Hati-hati selepas ini ketika membeli apa sahaja barangan kulit.

“Mungkin sebab tu harganya murah,” tambahnya.

Sementara itu, rata-raya netizen mencadangkan Aiman membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk memastikan isu tersebut disiasat dengan lebih terperinci.

Pun begitu, terdapat juga yang berpendapat tali pinggang tersebut mungkin bukan diperbuat daripada kulit sebenar, sebaliknya hanya menyerupai tekstur tertentu.

“Textured je tu, kulit asli takkan nak jual RM5.90. Kulit babi mahal ya,” komen seorang pengguna TikTok.

“Harga macam tak kena, cuba periksa lagi takut kulit sintetik. Pattern je tu, terlalu seragam cantik susunan dia. Murah sangat kalau kulit asli,” tambah seorang netizen. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok