PENYANYI rock remaja dari Thailand, Nene Royal mencipta sejarah apabila muncul juara America’s Got Talent (AGT) musim ke-21, sekali gus menjadi peserta pertama negara itu memenangi program realiti popular terbabit.
Nene atau nama sebenarnya Rattikarn Amloy, 16, menewaskan sembilan finalis lain menerusi persembahan bertenaga lagu Seven Nation Army nyanyian kumpulan rock Amerika, The White Stripes pada pentas final di California.
Kemenangan tersebut turut melayakkannya membawa pulang hadiah wang tunai AS$1 juta atau RM4.2 juta.
Nene yang terkenal dengan persembahan heavy metal itu sememangnya menjadi antara peserta pilihan peminat sejak awal pertandingan selepas video uji bakatnya membawakan lagu Zombie nyanyian asal The Cranberries tular dan meraih lebih 20 juta tontonan.
Selain persembahan solo, gadis asal Phuket turut mencuri perhatian apabila berpeluang membuat persembahan bersama kumpulan rock terkenal dunia, Linkin Park menerusi lagu The Emptiness Machine.
Detik kemenangan Nene turut menyentuh emosi apabila dia dilihat menangis sebelum melutut di pentas selepas namanya diumumkan sebagai juara.
Saya sangat gembira dan terharu sekarang. Terima kasih kepada semua yang menyokong saya,” katanya selepas dinobatkan sebagai pemenang.
Kejayaan itu disambut meriah di Thailand apabila peminat mengikuti perkembangan keputusan pertandingan berkenaan menerusi siaran langsung YouTube selepas tidak dapat menonton siaran NBC.
Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul turut mengucapkan tahniah kepada Nene dan menyifatkan kemenangan tersebut sebagai sesuatu yang mengharumkan nama negara serta membanggakan rakyat Thailand.
Menurut kenyataan Jabatan Perhubungan Awam kerajaan Thailand, kejayaan Nene lebih bermakna apabila dia membawa identiti Thailand dengan penuh keyakinan ke pentas antarabangsa.
Nene mula bermain gitar ketika berusia tujuh tahun dan menyimpan impian untuk menjadi pemuzik yang membuat persembahan di seluruh dunia.
Sebelum mencipta nama di pentas AGT, Nene turut dikenali di kampung halamannya sebagai pemuzik jalanan yang sering membuat persembahan di Naka Weekend Market.
Kakitangan dan pelajar Kajonkiet International School di Phuket, tempat Nene belajar turut meraikan kejayaannya dengan berkumpul menyaksikan persembahan final sebelum bersorak selepas dia dinobatkan sebagai juara. – HIBGLAM

