Tak sangka pertemuan minggu lalu adalah yang terakhir – Umie Aida

PELAKON Datin Seri Umie Aida akui terkejut dan tersentak tatkala mendapat khabar duka pemergian Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali yang menghembuskan nafas terakhir pada 9.20 pagi tadi.

Menurut Umie atau nama sebenarnya Umi Khalsum Rahmad Ali, 53, dia mengambil masa untuk menghadam perkara tersebut kerana masih segar dalam ingatannya pertemuan dengan tokoh negara itu minggu lalu.

“Ya Allah saya tersentak apabila mendengar berita itu. Saya amat sedih dan berdukacita dengan pemergian Tun Hasmah yang sangat kita sayangi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tetapi dalam masa yang sama saya bersyukur kepada Allah kerana sempat bertemu dengan arwah dalam majlis Seniman Semeja yang dianjurkan minggu lalu untuk menyantuni Tun Mahathir dan Tun Hasmah. Tak sangka itu pertemuan terakhir kami.

“Saya bersyukur kerana sempat membuat mereka berdua gembira dan menyampaikan ucapan terima kasih mewakili anak seni tempatan atas jasa mereka berdua selama ini,” katanya kepada HibGlam.

Tambah Umie lagi, dia tergerak hati untuk menganjurkan majlis tersebut kerana takut seandainya tidak lagi berkesempatan untuk bertemu kedua-dua tokoh negara itu memandangkan usia mereka sudah lanjut.

Tun selalu tanya pada suami saya, mana Umie, mana Umie. Lama tak berjumpa katanya. Gerak hati saya mengatakan saya kena buat majlis ini sebagai tanda terima kasih anak seni kerana kami sangat menghargai jasa Tun Mahathir dan Tun Hasmah sepanjang mereka mentadbir negara sehingga hari ini,” jelasnya.

Umie juga menyifatkan pemergian arwah sebagai satu kehilangan besar buat negara kerana arwah merupakan inspirasi buat seluruh wanita di Malaysia.

“Arwah merupakan seorang isteri yang sangat sangat taat kepada suami. Beliau tulang belakang kepada Tun Mahathir dari dulu sehingga ke akhir hayatnya.

Ketika majlis Seniman Semeja minggu lalu, kedua-dua mereka tak berapa sihat, tetapi tetap mesra dan melayani anak seni biarpun ramai yang datang bergambar dan mengambil autograf,” ujarnya.

Ditanya apakah kata-kata terakhirnya kepada arwah dalam pertemuan mereka minggu lalu, ujar Umie dia sempat mengucapkan terima kasih kepada arwah atas jasanya.

Umie nak Tun tahu satu perkara, kami anak seni dan semua orang di luar sana menghargai jasa Tun. Kami semua sayangkan Tun,” kongsinya dalam nada sebak.

Terdahulu, media melaporkan, Tun Dr Siti Hasmah yang dilahirkan 12 Julai meninggal dunia pagi tadi di Institut Jantung Negara. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun dan meninggalkan tujuh orang anak. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok