‘Saya serahkan kepada peguam – Fattah terima LOD daripada Fazura

PELAKON Fattah Amin mengesahkan menerima notis tuntutan (LOD) daripada bekas isterinya, Nur Fazura berhubung kenyataan di mahkamah membabitkan isu sebuah kenderaan.

Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd. Amin, 34, berkata notis berkenaan juga sudah dibalas dan diserahkan kepada peguam yang dilantik bagi urusan selanjutnya.

“Saya memang ada terima LOD daripada peguamnya sekitar bulan lalu iaitu sebelum saya mengerjakan umrah. Saya pun kurang pasti tarikh sebenar.

Perkara tersebut saya serahkan kepada peguam dilantik untuk memberi balasan. Notis jawapan pun sudah diserahkan mengikut tempoh ditetapkan iaitu tujuh hari bermula tarikh LOD diterima.

“Setakat ini, hanya maklumat itu yang saya boleh kongsikan. Perkara seterusnya saya cuma tunggu sahaja di mahkamah,” katanya ketika ditemui pada sidang media Usanita Entertainment di sini, hari ini.

Begitupun, aktor yang dilantik sebagai duta Usanita Entertainment itu lebih selesa tidak berkongsi secara terperinci mengenai kandungan surat yang diterima.

Butiran dalam notis mahkamah itu adalah urusan personal. Itu yang saya tak boleh kongsi, kena simpan sendiri,” ujarnya.

Isu kenderaan yang dihadiahkan Fazura kepada aktor tersebut kembali menjadi bualan selepas difahamkan peguam bekas isterinya sudah menyerahkan notis tuntutan.

Ini kerana ketika sah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada Oktober lalu, Fazura dalam satu kenyataan memaklumkan dia menghadiahkan kereta untuk Fattah.

Membalas kenyataan tersebut, aktor terbabit ketika itu menegaskan kenderaan berkenaan bukan hadiah seperti didakwa, sebaliknya dia membayar ansuran bulanan menerusi potongan gaji.

Terdahulu, Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017, namun mereka bercerai 7 Oktober lalu selepas tujuh tahun.

Hasil perkahwinan itu, pasangan terbabit dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, empat tahun.

Sementara itu, mengenai penglibatan dengan Usanita Entertainment, Fattah bersama pelakon Sophia Albarakbah dilantik mempromosikan syarikat berkenaan.

Memberi fokus kepada bidang hiburan, dua selebriti itu akan bergandingan dalam sebuah drama yang bakal menjalani penggambaran di London Februari 2025.

Drama arahan Erma Fatima itu juga sebagai langkah mempromosikan produk usahawan di bawah Usanita selain aktiviti turun padang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok