DAKWA difitnah, pelakon Niezam Zaidi masih mempertimbangkan hasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang individu yang dipercayai mencetuskan kekecohan dalam media sosial.
Niezam atau Mohd Niezam Mohd Zaidi, 33, berkata, dia perlu berbuat demikian bagi membersihkan namanya selepas mendakwa diaibkan secara umum menerusi satu hantaran yang tular sekitar Jun lalu.
“Demi Allah, apa sahaja naratif yang telah diperkatakan itu sama sekali tidak benar. Apa yang berlaku sebenarnya melibatkan aib dan privasi seseorang, bukan seperti naratif digambarkan.
Saya enggan bercerita banyak kerana apabila kita bersuara, bukan semua orang percaya. Kalau seseorang tak suka kita, walaupun di pihak yang benar, belum tentu mereka percaya.
“Tapi saya dah jumpa peguam dan dimaklumkan ada peluang cerah sekiranya mengambil tindakan undang-undang berdasarkan bukti yang saya dimiliki,” katanya ketika ditemui pada Pelancaran Treler dan Poster filem Orang Perang, hari ini.
Begitupun, pelakon drama Dia Bukan Syurga itu mengakui masih belum membuat keputusan untuk meneruskan tindakan tersebut kerana memikirkan kesan terhadap individu dimaksudkan.
“Apabila saya dengar perkara itu, saya terfikir juga tentang keluarga pihak berkenaan.
Saya fikir, untuk apa saya mahu lakukan sesuatu yang mungkin memberi kesan kepada keluarga mereka? Allah lebih mengetahui apa yang saya rasa,” ujarnya.
Pada masa sama, Niezam berkata, dia sudah memaafkan semua pihak yang terlibat dalam kejadian tersebut selain memilih untuk memberikan tumpuan terhadap kerjaya seninya.
Katanya lagi, keputusan tersebut dilakukan kerana enggan mencari masalah atau bermusuh dengan mana-mana pihak.
Saya maafkan sesiapa sahaja yang pernah mempersendakan saya sebaik isu terbabit tular termasuk jenama besar yang menggunakan perkataan ‘cadar’. Jangan risau, saya maafkan semua.
“Saya tidak mahu mencari musuh, jangan pula cari saya di akhirat nanti. Padang Mahsyar itu luas. Di dunia pun kadang-kadang enam tahun kita tidak berjumpa,” ujarnya.
Terdahulu, nama Niezam dipetik netizen selepas seorang pelakon wanita mendedahkan dicurangi lelaki dengan singkatan nama NZ dan kemudian perkongsian tersebut ‘dipanaskan’ pula respons seorang wanita lain. – HIBGLAM
