PENYANYI Adira Suhaimi bersyukur apabila kes pengesahan lafaz rujuk membabitkannya dengan bekas suami, Datuk Red, kini hampir sampai ke penghujung selepas kedua-dua pihak selesai memberi keterangan masing-masing.
Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 35, berkata dirinya tidak mahu terburu-buru dan menyerahkan segala urusan kepada prosedur mahkamah sebelum kes berkenaan menemui noktah.
“Saya okey sahaja, alhamdulillah. Tidak perlu tergesa-gesa. Kita ikut prosedur mahkamah dan insya-Allah, lambat laun perkara ini akan selesai juga.
“Memang sudah agak lama dan berpanjangan, tetapi seperti saya cakap tadi, kita mahu ia selesai. Hari ini pun masih belum selesai sepenuhnya.
“Bagaimanapun, sudah hampir 80 peratus selesai, alhamdulillah. Jadi, kita santai-santai sahaja. Apa sahaja keputusan nanti, kami sudah bersedia. Apa pun keputusannya, kehidupan kami akan berjalan seperti biasa dan tiada apa berubah,” katanya kepada HibGlam.
Adira berkata demikian ketika ditemui selepas prosiding kes pengesahan lafaz rujuk di Mahkamah Syariah Rendah Gombak Barat, di sini, hari ini.
Ditanya sama ada kes berkenaan memberi sebarang gangguan terhadap kehidupannya, pelantun lagu Pujaan Hati itu menafikannya.
“Oh, tidak. Saya masih menjalani kehidupan seperti biasa. Tiada apa-apa pun terganggu. Alhamdulillah,” ujarnya.
Sementara itu, peguam syarie mewakili Adira, Roshdan Sujak Rafie berkata proses perbicaraan kes berkenaan secara asasnya sudah selesai selepas Adira dan seorang saksi memberikan keterangan di mahkamah.
“Bagi pihak Adira, semuanya sudah selesai. Cuma sekarang kita menunggu keputusan mahkamah. Prosiding hari ini adalah sambungan perbicaraan, dengan Adira sudah selesai memberikan keterangan.
“Kita turut membawa seorang saksi, iaitu abang Adira, untuk memberikan keterangan dan semuanya sudah selesai. Jadi, proses perbicaraan asalnya sudah tamat.
“Sekarang mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan hujah masing-masing. Tarikh akan datang ditetapkan untuk penghujahan dan selepas mahkamah menerima hujah, satu lagi tarikh akan diberikan bagi keputusan kes ini,” jelasnya.
Mengulas kemungkinan proses berkenaan dipercepatkan seperti hasrat Datuk Red, Roshdan menjelaskan prosedur sedia ada perlu dilalui bagi memastikan kedua-dua pihak diberikan ruang sewajarnya untuk mengemukakan keterangan serta hujah.
“Proses kita lalui sekarang adalah prosedur standard. Apa-apa dakwaan perlu dibicarakan di mahkamah dan pihak didakwa juga diberi peluang untuk memberikan keterangan.
“Selepas semua pihak selesai memberikan keterangan, mahkamah akan membuat keputusan. Namun, sebelum keputusan dibuat, pihak terbabit perlu menyediakan hujah bagi menyokong dakwaan serta keterangan masing-masing.
“Kalau mahu dipercepatkan, mungkin dari segi tarikh boleh dipertimbangkan, tetapi kedua-dua pihak tetap memerlukan masa untuk menyediakan hujah secara terperinci,” ungkapnya.
Mahkamah menetapkan 19 Oktober sebagai tarikh bagi kedua-dua pihak memfailkan hujah masing-masing.
Terdahulu, mahkamah menolak permohonan penarikan balik kes difailkan Datuk Red terhadap Adira.
Menerusi permohonan difailkan pada 18 Disember lalu, Datuk Red mendakwa berlaku lafaz rujuk pada Mei 2024 ketika Adira masih dalam tempoh idah selepas perceraian mereka.
Bagaimanapun, Adira sebelum ini meluahkan rasa terkejut dengan tindakan bekas suaminya itu dan mendakwa Datuk Red meminta bayaran RM100,000 sebagai antara syarat untuk menarik balik kes berkenaan.
Adira dan Datuk Red mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua sebelum bercerai pada 24 April 2024.
Hasil perkahwinan, pasangan berkenaan dikurniakan empat cahaya mata, Anggrek, 8, Asan, 7, Anggun, 5, dan Ayob, 4. – HIBGLAM
