‘Jangan bimbang, saya masih anak perempuan papa yang kuat’

“JANGAN bimbang, saya masih lagi anak perempuan papa yang kuat.”

Demikian luahan pelakon dan penyanyi, Nur Fazura mengenang pemergian bapanya, Sharifuddin Adnan yang sudah genap 26 tahun dijemput Ilahi.

Fazura atau nama lengkapnya, Nur Fazura Sharifuddin, 42, menitipkan kata-kata penuh kasih buat insan yang disifatkan sebagai sumber kekuatan dalam hidupnya.

“Al-Fatihah. 26 tahun tanpa papa.

“Jangan bimbang, saya masih lagi anak perempuan papa yang kuat.

“Segala sifat baik serta ketabahan papa akan sentiasa hidup dalam diri saya.

Saya merindui dan menyayangi papa setiap hari, sehingga kita bertemu kembali,” katanya dalam hantaran di Instagram.

Perkongsian tersebut turut disertakan sekeping foto lama yang dirakam sendiri oleh arwah bapanya, sekali gus menjadikan kenangan menyentuh jiwanya.

“Gambar diambil papa,” tulisnya ringkas sebagai keterangan pada gambar berkenaan.

Tarikh 14 September menjadi hari cukup bermakna buat pelakon filem Bicara Hati itu kerana pada tarikh sama 26 tahun lalu, dia kehilangan insan kesayangannya itu ketika berusia 17 tahun.

Walaupun lebih dua dekad berlalu, Fazura membuktikan masa tidak pernah memadam rasa rindu terhadap insan yang menjadi antara tonggak penting dalam pembentukan dirinya.

Selepas pemergian bapanya, Fazura bersama tiga adik-beradiknya dibesarkan ibu mereka, Fadhillah Nasir yang meneruskan tanggungjawab membesarkan empat cahaya mata sebagai ibu tunggal.

Fazura merupakan anak ketiga daripada empat bersaudara dan satu-satunya anak perempuan dalam keluarga. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok