‘Tak nak asyik kena pijak, saya ada peguam yang bagus’

PELAKON Ammar Alfian meneruskan tindakan undang-undang terhadap seorang wanita yang didakwa membuat kenyataan fitnah terhadapnya meskipun mahkamah sebelum ini memberikan injunksi agar individu itu menjauhinya.

Ammar atau nama sebenarnya Ammar Alfian Aziz Mohd. Zakri, 38, berkata, kes berkenaan masih berjalan dan akan kembali dibicarakan pada Januari tahun depan, sekali gus membuatkannya tidak boleh mengulas terlalu banyak mengenainya.

“Saya tak nak cakap banyak tentang kes ini sebab masih berjalan di mahkamah, perbicaraan dijadualkan pada Januari 2027.

“Pihak saya sudah menang injunction (injunksi) supaya dia menjauhi saya. Tapi saya dengar dia masih bercakap mengenai saya secara terbuka,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran trailer serta runut bunyi bagi filem Orang Perang, semalam.

Ammar berkata, dia menyerahkan sepenuhnya perkara tersebut kepada mahkamah serta pasukan peguamnya bagi menentukan kebenaran di sebalik segala dakwaan yang dilemparkan terhadapnya.

“Saya biarkan mahkamah yang uruskan. Saya serahkan kepada undang-undang. Saya ada peguam yang bagus. Nanti akan tahulah hal sebenar.

“Sebab sekarang orang semua cakap bukan-bukan mengenai saya, fitnah saya. Benda yang mereka tak tahu, mereka ingat mereka kenal saya,” ujarnya.

Pada masa sama, Ammar turut menegaskan sudah menerima keputusan No Further Action (NFA) berhubung dakwaan dia memukul wanita terbabit.

“Dia kata saya pukul dia, saya dapat (keputusan) NFA (No Further Action). Tiada bukti pun. Maknanya saya dah menang dekat situ.

“Kita tengok perbicaraan macam mana. Kemudian dia akan buat permohonan maaf secara terbuka. Itu sahaja yang saya nak daripada dia. Cuma dia tetap degil,” ujarnya.

Pelakon filem Orang Perang itu mengakui sudah tidak mampu lagi berdiam diri selepas mendakwa dirinya berterusan berdepan pelbagai kecaman dan fitnah selama ini.

“Dua tahun saya kena hina, difitnah. Jadi sekarang saya nak ambil pendirian tegas. Saya tak nak biarkan lelaki macam saya asyik kena pijak.

“Sekarang saya sudah nekad ambil tindakan. Saya rasa ramai lelaki pun sudah berani untuk melawan jika ditindas,” ulasnya.

Bagaimanapun, Ammar menegaskan enggan mengheret isu berkenaan menjadi perang emosi di media sosial, sebaliknya memilih berpegang kepada fakta dan membiarkan proses perundangan berjalan.

“Saya biarkan mahkamah uruskan. Alhamdulillah, kawan rapat dan keluarga semuanya bersama saya. Mereka tahu saya macam mana,” katanya.

Mengulas kesan kontroversi tersebut terhadap dirinya, Amar berkata, dia sudah lali dengan kecaman selepas hampir dua dekad berada dalam industri seni.

“Dari segi mental, saya dah beberapa kali kena kecam. Jadi dah biasa. Mental saya kuat.

“Saya pergi gim, bersenam, buat sparring dan boxing untuk lepaskan kemarahan. Sebab nak buat apa kalau orang fitnah kita? Kita tak boleh tutup mulut orang. Mereka tetap akan bercakap.

“Jadi itu sahaja cara saya lepaskan semuanya. Saya juga banyak luangkan masa dengan kawan rapat dan keluarga,” tambahnya.

Pada masa sama Ammar mendakwa ibu bapanya antara individu yang paling terkesan dengan kontroversi tersebut.

“Paling kasihan ibu bapa saya. Dia (wanita terbabit) tak fikir ibu bapa saya, tak fikir mengenai anak saya. Disebabkan tak dapat cinta saya, dia reka cerita buruk,” katanya.

Terdahulu, seorang wanita mendedahkan beberapa foto menunjukkan kecederaan pada bahagian muka, mata, leher dan tangan menerusi hantaran di Instagram miliknya.

Wanita tersebut mendakwa pelaku adalah aktor terbabit apabila berkongsi foto dengan lelaki itu sebagai bukti. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok