4 kumpulan K-pop paling malang 2024

TINGGAL beberapa helai lagi muka surat sebelum kalender 2024 menutup tirai. Pelbagai memori suka dan duka berlaku dalam dunia seni.

Ada yang mencipta memori terindah dan bersejarah dalam hidup, malah tidak dilupakan ada dalam kalangan mereka tidak mampu memberikan yang terbaik dalam karier.

Lebih menyedihkan, ada juga selebriti yang terpaksa menoktahkan karier mereka kerana gagal bertahan dalam dunia seni Korea Selatan.

Sehubungan itu, Daebak merangkumkan beberapa kumpulan K-pop yang tersungkur di tengah jalan dan berpecah dengan alasan masing-masing.

Loossemble

AHLI kumpulan Loosemble sebenarnya merupakan bekas anggota kumpulan Loona yang terdiri daripada Hyujin, Yeojin, ViVi, Gowon dan Hyeju.

Mereka mula membuat penampilan dengan nama Loossemble pada tahun 2023 selepas Loona menamatkan kontrak eksklusif dengan label terdahulu.

Namun, dalam tempoh setahun lebih, kumpulan itu terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada peminat selepas menamatkan kontrak eksklusif dengan agensi, CTDENM.

Cherry Bullet

KUMPULAN Cherry Bullet debut pada Januari 2019 dengan album pertama berjudul Let’s Play Cherry Bullet.

Pada ketika itu, kumpulan tersebut mempertaruhkan muzik mereka dengan 10 orang ahli, namun tiga daripadanya menamatkan kontrak dengan FNC Entertainment sekali gus terpaksa meninggalkan kumpulan terbabit.

Selepas itu, Cherry Bullet meneruskan karier mereka dengan tujuh orang ahli iaitu Haeyoon, Yuju, Bora, Jiwon, Remi, Chaerin dan May.

Namun, kumpulan itu terpaksa dibubarkan pada 22 April 2024 selepas lima tahun berkarier.
Difahamkan, mereka bubar selepas empat daripada tujuh ahli menamatkan kontrak dengan agensi terbabit.

fromis_9

SELEPAS debut pada 2018 di bawah kendalian Pledis Entertainment, kumpulan fromis_9 berjaya menghasilkan lima E.P termasuk sebuah album studio penuh dan banyak single popular.

Namun, pada 29 November lalu, pihak Pledis Entertainment mengumumkan bahawa kontrak eksklusif kumpulan terbabit akan tamat pada 31 Disember ini.

Bagaimanapun, fromis_9 sempat mengeluarkan lagu terakhir pada 23 Disember ini sebelum meninggalkan label berkenaan.

New Jeans

KETIKA berlakunya konflik undang-undang melibatkan agensi Hybe, Ador dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ador iaitu Min Hee-jin, kumpulan New Jeans memutuskan untuk keluar daripada agensinya.

Pengumuman mengejutkan tersebut dibuat melalui sidang akhbar tergempar pada 29 November lalu.

Meskipun masih bersatu sebagai kumpulan dan meneruskan aktiviti seni, mereka mengakui tidak dapat menggunakan nama New Jeans.

Hal tersebut kerana nama New Jeans adalah hak cipta agensi dan sehingga kini nasib mereka masih menjadi persoalan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok