‘Kalau ada abang Johan, mesti lagi seronok’

MENGADAKAN sebuah konsert solo pastinya menjadi impian setiap individu bergelar penyanyi namun untuk menjadikannya realiti, bukan satu hal mudah.

Banyak rintangan dan kegagalan perlu ditempuh yang adakalanya boleh meruntuhkan semangat dalam diri.

Perkara itu diakui dan dilalui Datuk Nora Ariffin bagi merealisasikan impian yang sudah disimpannya sejak tiga dekad lalu.

Kini, impian tersebut menjadi kenyataan selepas mengumumkan akan muncul dengan Konsert Hanya Satu: Datuk Nora Ariffin (30 Years Journey) yang bakal berlangsung pada 18 Disember depan di Stage 1 Theare, PJ PAC, One Utama, Petaling Jaya, Selangor.

Putus asa

Pemilik nama lengkap Wan Norafizah Wan Ariffin, 51, itu bersyukur kerana akhirnya segala penat lelah yang ditabur terbayar apabila ada pihak yang sudi menaja konsert solonya itu.

Malah, dia melihat penganjuran konsert tersebut sebagai ‘hadiah’ buat para peminat yang sentiasa menyokong perjalanan seninya sejak 30 tahun lalu.

“Konsert ini adalah momen penting dalam perjalanan kerjaya muzik saya. Jadi, saya memang akan berusaha memberi yang terbaik.

“Saya nak juga konsert ini menjadi realiti, sekurang-kurangnya sekali dalam karier sebagai penyanyi,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Satu perjalanan yang sukar, penyanyi itu memberitahu bukan mudah untuk menambat hati pihak tertentu bagi menaja konsert sulungnya.

Sebagai manusia biasa, dia turut tidak terlepas daripada berasa putus asa kerana proposal atau kertas kerja konsertnya sering ditolak.

“Sangat sukar, walaupun sudah lama berada dalam industri, tidak mudah untuk saya mendapatkan penaja. 

“Pernah satu tahap, memang nak putus asa sebab idea dan kertas kerja sering kena ‘reject’ sehingga membuatkan saya tertanya-tanya adakah tidak lagi relevan sebagai penyanyi atau kurang popular.

“Namun, alhamdulillah dengan sokongan pasukan, keluarga dan peminat dan berkat doa tanpa henti, saya nekad teruskan perancangan yang sudah memakan masa hampir dua tahun itu,” tuturnya.

Kata pelantun lagu Di Persimpangan Dilema itu, selain dirinya, konsert ini juga merupakan idea asal suaminya, Allahyarham Johan Nawawi.

Kongsinya, isu masalah penaja bukan perkara baharu tetapi sudah dilalui berpuluh tahun sebelum ini.

Setiap kegagalan yang dilalui turut membuatnya terfikir mengapa penyanyi lain dari luar negara khususnya mendapat laluan mudah untuk mengadakan konsert.

“Sejak zaman arwah Johan masih ada, masalah utama yang sering saya hadapi adalah mendapatkan penaja. 

“Saya rasa terkilan dan sedih melihat penyanyi lain mudah sahaja mengadakan konsert. Namun, saya fikir mungkin bukan rezeki saya ketika itu. 

“Sampai satu tahap memang rasa malas hendak bercakap tentang konsert lagi serta mahu mematikan sahaja impian tersebut itu,” katanya lagi.

Tuturnya, rasa berharap dalam dirinya kembali berbunga selepas pihak kerajaan membuka peluang dengan memberi geran kepada penganjur tempatan untuk penganjuran konsert.

“Selepas kerajaan membuka peluang dengan menawarkan geran, saya tidak melepaskan peluang untuk memohon. 

“Walaupun tidak dibiayai sepenuhnya dan masih perlu menampung kos tambahan, saya tidak kisah asalkan impian untuk mengadakan konsert solo ini menjadi realiti,” kongsinya.

Sebak

Dalam pada itu, ketiadaan arwah suami membuatkan Nora berasa seperti ada sesuatu yang kurang lengkap untuk mengadakan konsert solo. 

Rasa rindu tidak akan pernah luput, dia mengakui berasa sebak setiap kali membuat latihan untuk konsert dengan menyanyikan lagu-lagu ciptaan arwah.

“Saya tahu kalau dia masih ada mesti gembira kerana akhirnya saya dapat merealisasikan impiannya mempunyai konsert solo sendiri.

“Bila saya berlatih menyanyi lagu-lagu untuk konsert ini, memang sangat beremosi sebab setiap lagu itu semuanya ada kaitan dengannya.

“Sebelum ini, semuanya diuruskan oleh arwah termasuklah penghasilan lirik lagu dan hal berkaitan produksi. Saya berharap kalau abang (panggilan arwah) ada pasti lebih seronok, cuma itulah, Tuhan lebih menyayanginya,” kongsinya.

Tiket Konsert Hanya Satu: Datuk Nora Ariffin (30 Years Journey) kini boleh dibeli menerusi www.onetix.com.my bermula dari harga RM108 (interlude), RM158 (Sandiwara), RM218 (Debaran), RM288 (Naluri), RM318 (Samudera), RM418 (Jentayu), RM518 (Kirana) untuk VIP dan sesi Meet & Greet. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok