Isu membabitkan anak antara Ippo Hafiz dengan isterinya, Fara Roslan semakin tegang apabila wanita itu menyindir penyanyi itu yang sebelum ini mendakwa tidak pernah menghalang bertemu anak bongsu mereka.
Fara atau nama penuhnya, Norfarahin Mohd Roslan, 36,menegaskan andai benar seperti diperkatakan kepada umum, sudah tentu dia dapat bertemu dan melepaskan kerinduan terhadap si kecik yang baharu berusia dua tahun tiga bulan itu.
“Rindu anak mama yang sangat aktif ini. Kalau tiada halangan mesti dah jumpa kan?
“Tipu dosa, mati seksa kan dik? Ibrahim (anak) pun cakap takut,” katanya dalam perkongsian dalam Instagram Story.
Menerusi hantaran berbeza, Fara turut menafikan keluar dari rumah tanpa keizinan sejak November tahun lalu seperti didakwa Ippo sebelum ini.
Malah dia turut menyertakan bukti membawa kedua-dua anak lelakinya keluar dari rumah untuk berjalan-jalan sekitar Disember tahun lalu.
Menerusi perkongsian lain, Fara turut membuat naik video berkenaan seseorang yang suka mendakwa diri sebagai mangsa sedangkan individu terbabit adalah pencetus masalah.
Biarpun tidak menyebut mana-mana pihak, hantaran mengenai individu yang suka memanipulasi seolah-olah merujuk situasi dilaluinya.
Terdahulu, Ippo atau Muhammad Hafiz Yaziz, 34, mengakui tidak pernah pernah menghalang Fara datang bertemu anak kedua mereka yang kini dalam jagaannya
Malah, komposer terbabit juga sebelum itu meminta mana-mana pihak tidak menyebarkan berita palsu tentang dirinya.
Kemelut antara pasangan itu tercetus selepas seorang saudara terdekat Fara mendedahkan penyanyi Saat Bahagia itu memisahkan ibu dan anak.
Kenyataan berkenaan mendorong Ippo bertindak menghantar notis kepada pihak yang tidak didedahkan identitinya agar berhenti mengeluarkan hal tidak benar berhubung rumah tangganya.
Hantaran yang dibuat Ippo itu dipercayai membalas kepada satu perkongsian individu bernama Yazmin yang mendakwa penyanyi itu mungkir janji dan tidak membenarkan Fara bertemu anak bongsunya.
Pada 12 Mac lalu, Ippo hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Ampang bagi sebutan pertama kes nusyuz yang difailkan terhadap Fara.
Tuntutan dibuat susulan isterinya itu didakwa tidak pulang dan keluar rumah tanpa izin sejak November tahun lalu.
Ippo dan Fara mendirikan rumah tangga pada 24 Ogos 2019 dan dikurniakan dua cahaya mata termasuk putera sulungnya yang kini di bawah jagaan Fara. – HIBGLAM