PELAKON Nora Danish mengingatkan wanita agar memilih pasangan hidup yang dapat membimbing, mengamalkan ajaran agama serta memahami perkahwinan merupakan satu amanah bersama.
Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd Danish Hanif, 44, berkata, ujian dalam rumah tangga tidak pernah berakhir, namun perjalanan kehidupan lebih bermakna apabila pasangan memahami tanggungjawab.
“Ujian dalam rumah tangga memang takkan pernah habis. Tapi ada bezanya menghadapi ujian dengan seseorang yang faham bahawa perkahwinan itu amanah, bukan sekadar perasaan.
Selain husnuzon, carilah suami yang mampu membimbing kita, yang memahami agama dan berusaha mengamalkannya.
“Belajar dan berubah bersama itu sebagai perkara indah,” katanya dalam hantaran di platform Threads.
Bagaimanapun, ibu tunggal kepada dua anak itu menegaskan wanita juga perlu jujur dalam menilai perubahan seseorang lelaki terutama ketika dia sedang berusaha memiliki hati individu terbabit.
Katanya, persoalan yang perlu diteliti adalah sama ada perubahan itu benar-benar lahir daripada keikhlasan untuk mendekatkan diri kepada Allah atau sekadar cara memiliki hati pasangan.
Cuma, kita perlu jujur melihat, adakah dia berubah kerana Allah, atau sekadar untuk memiliki kita?
“Sebab kalau perubahan itu hanya bertahan selagi dia sedang mengejar, akhirnya kita yang penat berharap,” ujarnya.
Perkongsian Nora itu meraih respons netizen yang rata-rata berkongsi pendapat berkenaan kepentingan asas agama, tanggungjawab dan keikhlasan dalam membina kehidupan berumah tangga.
Setuju. Jangan cuma cari lelaki yang pandai bercakap tentang agama, carilah yang akhlaknya buat kita nampak agama itu hidup. Sebab pasangan bukan sekadar teman hidup, dia juga teman menuju akhirat,” ujar seorang pengguna Threads
Begitupun, Nora hanya meluahkan pandangan sedemikian secara rambang tanpa memetik nama mana-mana pihak. – HIBGLAM

