Bangga dapat pujian daripada PMX – Aliff Aziz

PELAKON utama teater muzikal Mansur & Liu, Aliff Aziz teruja dapat membuat persembahan di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hadir menyaksikan pementasan di Istana Budaya, semalam.

Menurut Aliff atau nama lengkapnya Mohammad Aliff Aziz, 35, selepas sembilan hari beraksi, semalam adalah hari paling bermakna buat dirinya.

Saya rasa sangat teruja dan berbesar hati kerana malam ini (semalam) ada kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyaksikan pementasan kami.

“Menurut Datuk M.Nasir, Datuk Seri Anwar turut memainkan peranan dalam teater Mansur & Liu,” katanya ketika ditemui usai tamat persembahan, semalam.

Kongsi Aliff lagi, para pelakon berkesempatan bertemu Anwar dan mendapat pujian daripada beliau.

Beliau beritahu kami bahawa beliau sangat gembira dan terhibur dengan persembahan yang dipentaskan. Saya rasa itu penghargaan besar buat pasukan kami.

“Kami rasa sangat berbangga apabila mendapat pujian daripada beliau,” ujarnya.

Bakal melabuhkan tirai pementasan pada malam ini, kata Aliff dia sangat bersyukur dengan penerimaan orang ramai terhadap persembahannya membawakan watak Sultan Mansur.

Alhamdulillah saya menerima banyak maklum balas positif daripada penonton yang sudah menonton pementasan ini. Biarpun ada yang mengkritik pemilihan saya sebelum ini, saya tak ambil pusing komen sebegitu.

“Lebih baik saya curahkan tenaga saya di dalam pementasan. Apa yang penting saya cuba galas amanah ini sebaik mungkin dan maju ke hadapan.

“Terima kasih kepada Datuk M. Nasir dan Datin Marlia Musa kerana memberi peluang serta memilih saya untuk menjayakan watak ini biarpun mereka sedia maklum risiko yang perlu dihadapi.

“Mereka bulatkan hati untuk memberikan saya peluang itu. Saya akan selamanya berterima kasih kepada mereka,” ujarnya.

Selain Aliff Aziz, Mansur & Liu turut menampilkan barisan pelakon hebat iaitu Melinda Dadew, Amerul Affendi, Sherry Alhadad, Arena Wan, Hazama, Taqim Zaki, Brian Chan, Fadhli Masoot, Anas Ridzuan,  Ruzana Ibrahim, Fiza Thomas, Taufiq Izmir, Marzuki Noh dan Shahrul Mizad. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok