PELAKON Diana Danielle enggan memberi sebarang paksaan terhadap dua anaknya iaitu Muhammad dan Nur Aurora untuk berpuasa penuh sepanjang bulan Ramadan.
Selain tiada paksaan, Diana atau nama penuhnya Diana Danielle Danny Beeson, 33, berkata, semuanya bergantung kepada kemampuan dua anaknya untuk berpuasa penuh namun mengakui suaminya, Farid Kamil sangat tegas dalam perkara tersebut.
Kalau Muhammad, dia sudah berpuasa penuh. Farid memang tegas dengan anak lelaki tetapi saya sebaliknya, mudah kasihan.
“Manakala, Aurora pula baru berusia lapan tahun dan dia masih mencuba serta kena fahamkan dulu maksud puasa dan kebaikannya.
“Lagipun puasa ini untuk memupuk kesabaran, toleransi dan menahan nafsu. Jadi benda-benda itulah yang kami nak buat anak-anak faham,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Akuinya, dia murah berasa kasihan jika anaknya memberitahu tidak mampu untuk meneruskan puasa.
Tutur Diana, sebagai ibu bapa, dia perlu sentiasa peka dan berhati-hati dengan keadaan kesihatan anak-anak sepanjang bulan Ramadan.
Saya jenis tak boleh tengok anak-anak dalam keadaan lapar dan dahaga ditambah pula dengan keadaan cuaca yang tidak menentu. Apabila mereka pulang ke rumah dalam keadaan berpeluh-peluh, saya jadi risau.
“Mereka ada juga aktiviti luar dan tak tahu limitasi badan sendiri ketika berpuasa seperti kerisauan berlaku strok haba dan sebagainya.
“Jadi, sebagai seorang ibu, saya okey dan tidak paksa kalau mereka tak mampu untuk berpuasa penuh dan sebaliknya,” ujarnya. – HIBGLAM