‘Tun Siti Hasmah rapat dengan orang seni, selalu ambil berat’

PELAKON dan pengarah terkenal, Datuk Afdlin Shauki meluahkan rasa sedih di atas pemergian Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah selain menyifatkan tokoh negara itu dekat di hati orang seni.

Menurut Afdlin atau nama lengkapnya Afdlin Shauki Aksan, 55, dia pernah bekerjasama dengan arwah dalam beberapa program.

“Arwah seorang yang sangat-sangat baik. Beliau sangat mengambil berat. Kalau jumpa beliau akan tanya khabar dan keadaan kita. Bukan sekadar jumpa dan berlalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kebanyakan ahli politik begitu, tetapi beliau tidak. Bila anda bercakap dengannya, rasa dia betul-betul ambil kisah tentang anda.

“Oleh kerana beliau juga merupakan seorang yang gemarkan muzik dan pemain biola, beliau sangat dekat dengan orang seni,” katanya ketika ditemui pada majlis pengebumian tokoh itu di Tanah Perkuburan Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya, hari ini.

Tambahnya lagi, biarpun figura seorang Tun Hasmah berada di belakang suaminya yang pernah menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri, namun arwah merupakan tunjang yang sentiasa menjadi pengubat individu terhormat itu.

“Kalau tiada Tun Hasmah, tiadalah Tun Mahathir. Mereka saling bergantung pada satu sama lain. Arwah ialah tempat Tun Mahathir untuk meluahkan perasaan dan buah fikiran.

“Bila saya tonton video Tun Mahathir tadi, saya sangat terkesan. Sedih melihat keadaan beliau begitu. Saya sendiri terbayang andai saya kehilangan orang yang saya sayang nanti,” jelasnya.

Afdlin turut meluahkan rasa syukur kerana sempat hidup di zaman pemerintahan Tun Mahathir dan Tun Hasmah dan melihat sendiri bagaimana mereka mentadbir negara.

“Arwah sangat disayangi ramai tak kira anda penyokong parti politik mana sekalipun. Kalau kita tengok orang yang datang ke majlis pengebumian hari ini, sangat luar biasa.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada Tun Mahathir dan seluruh ahli keluarga awah di atas kehilangan Tun Hasmah. Saya doakan roh arwah ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok