TIGA jam yang berbaloi. Itu diakui rata-rata penonton yang hadir pada konsert A Decade Cakra Khan 2.0 Live in Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tiada sesalan menghabiskan malam minggu bersama Cakra, penyanyi itu berjaya memberi persembahan terbaik dan diingati sepanjang konsert berlangsung.
Memulakan acara sekitar pukul 8.45 malam, penyanyi berusia 32 tahun itu membuka pentas dengan Mencari Cinta Sejati, sekali gus membawa fikiran penulis menerawang teringatkan kisah cinta dalam filem Rudy Habibie.
Cakra kemudian mengisi slot pertama dengan lagu Setelah Kau Tiada, Terlanjur Cinta dan Hal Hebat sebelum berduet dengan Dayang Nurfaizah menerusi lagu Di Pintu Syurga.
Penuh bertenaga, namun sedikit kurang harmoni dan kedengaran Cakra berjaya ‘makan’ Dayang dalam persembahan tersebut.
Tidak menghampakan ramai, Dayang atau nama penuhnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 43, membuat Plenary Hall gamat apabila tampil mendendangkan lagu irama Malaysia, Nak Dara Rindu dan Umpan Jinak di Air Tenang.
Kacak dalam persalinan serba hitam, anak kelahiran Jawa Barat, Indonesia itu buat pertama kalinya mendendangkan lagu ciptaan penyanyi, Aisha Retno berjudul Broken Symphony yang berkisarkan percintaan toksik.
Tidak sempat memberi penonton ruang bernafas, Cakra kembali menggamatkan seluruh dewan dengan dendangan lagu Nakal nyanyian kumpulan Gigi dan Mentera Semerah Padi (Datuk M. Nasir).
Duet paling dinanti-nanti ramai, Datuk Seri Rossa muncul dengan menghadiahkan lagu Terlalu Cinta dan berduet bersama Cakra menyampaikan Terlanjur Cinta. Gabungan dua vokal yang harmoni dan tidak membingitkan telinga.
Kejutan demi kejutan, kali ini Cakra pula dikejutkan dengan kehadiran wanita kurang upaya (OKU) bernama Eerah yang pernah viral kerana berniaga burger meskipun dirinya serba kekurangan.
Kehadirannya turut membawa burger ‘kahwin’ dan sempat dinikmati sesuap oleh Cakra. Ternyata kemunculan Eerah membuatkan emosi ramai penonton tersentuh dan menitiskan air mata.
Eerah banyak mengajar saya erti dan lebih menghargai kehidupan.
“Kegigihannya meneruskan hidup membuat saya semakin bersyukur dengan setiap perkara dimiliki hari ini,” tuturnya sebak.
Usai mendendangkan lagu Nanti, kehadiran Judika di pentas disambut sorakan gemuruh penonton. Lain macam penangan Judika!
Berpadu bersama Cakra menerusi Bukan Dia Tapi Aku, dua penyanyi sebarang itu ternyata ‘juara’ panggung suara, membuatkan seluruh Plenary Hall larut dalam galau.
Emosi galau tidak terhenti di situ apabila Judika mendendangkan lagu Bagaimana Kalau Aku Tidak Baik-baik Saja dengan penuh bertenaga, merinding!
Sebelum melabuhkan tirai konsert, Cakra lincah di pentas menyanyikan lagu Khayalan (Black Dog Bone) sebelum menutup persembahan dengan lagu paling berhantu miliknya, Harus Terpisah.
Menghiburkan dan lebih baik berbanding konsert-konsertnya sebelum ini. Pemilihan lagu dan penyanyi undangan berjaya membuatkan momentum konsert tidak mendatar.
Bukan itu sahaja, persembahan Cakra yang diiringi 32 pemuzik orkestra yang diketuai Datuk Ramli MS turut memberi impak besar terhadap setiap persembahan malam tersebut.
Sesekali, lebih 2,900 penonton yang hadir turut terhibur dengan gelagat Ramli MS yang beraksi seperti pengacara pada malam tersebut ditambah pula soalan-soalan cepumas terhadap Cakra. Pecah perut!
Cakra yang ditemui selepas konsert mengakui puas hati dengan semua yang berlangsung pada malam tersebut.
“Sangat puas hati apabila melihat semua perancangan berjalan dengan lancar termasuk susunan muzik oleh Ramli MS, memang hebat.
“Kebanyakan perbualan dan kemunculan tetamu seperti Eerah dan adik Umai adalah kejutan buat saya. Semuanya berlaku secara spontan,” katanya.
Tambahnya, konsert kali ini meninggalkan 1,001 memori manis apabila melihat ramai rakan seindustri dan ahli keluarga hadir memberi sokongan.
Tahun ini lebih beri kepuasan berbanding konsert terdahulu. Banyak lagu baru yang saya nyanyikan seperti Kamu Adalah dan Broken Symphony,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia juga memberitahu sanggup berdiet beberapa bulan sebelum berlangsungnya konsert demi memberi penampilan terbaik pada malam tersebut.
Saya juga turut mengamalkan diet dan senaman sehingga turun berat badan sebanyak tujuh kilogram (kg) iaitu daripada 78kg kepada 68kg dalam tempoh sebulan.
“Semua itu bagi memastikan baju saya muat dan nampak elok di atas pentas,” katanya tertawa kecil.
“Saya sangat terharu dengan sambutan peminat di sini yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan karier dan setiap konsert di sini, terima kasih Malaysia,” ujarnya yang tidak puas-puas untuk kembali lagi. – HIBGLAM