‘Kalau ada yang mengguris hati Azmi, saya minta maaf’

DIKECAM gara-gara melontarkan gurauan menyentuh aspek fizikal penyanyi Azmi Saat, pelawak Jihan Muse tampil memohon maaf atas keterlanjuran kata serta kesilapannya semasa mengadili program Kilauan Emas Selebriti 2026.

Jihan atau nama penuhnya Nur Jihan Musa, 43, menyedari kelemahan dirinya sebagai manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan khilaf, apatah lagi ketika seronok berinteraksi.

“Kalau didengari salah, saya patut minta maaf, bila terlalu kasual kadang-kadang ada gurauan terlepas dan tak sepatutnya keluar di mikrofon,

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya manusia biasa, ada khilafnya. Kadang-kadang seronok gelak, bercakap laju sampai terlepas.

“Yang penting Azmi, apa dia rasa. Kalau ada yang mengguris hatinya, saya minta maaf,” katanya kepada HibGlam usai program Kilauan Emas Selebriti 2026, semalam.

Dalam masa sama, pelakon filem Rumah Pusaka Di Simpang Jalan itu sedar gurauan tersebut tidak sewajarnya dipertontonkan kepada khalayak walaupun hubungannya dengan vokalis kumpulan Caliph Buskers itu dalam keadaan baik.

“Tapi apa pun kita minta maaf atas sensitiviti, saya sebagai manusia kena ada sensitiviti.

“Kalau ada terlepas dan mengguris hati orang yang mendengar, saya minta maaf. Azmi kawan saya dan dia okey tapi benda itu tak sepatutnya jadi tontonan umum,” jelasnya.

Ditanya kenapa isu sama berulang beberapa kali, Jihan menyifatkan dirinya tidak terlepas daripada melakukan kesilapan selain memohon maaf kepada penonton yang kurang selesa.

“Kita manusia, kadang-kadang jalan secara langsung ada silap, tak boleh nafikan.

“Ada mungkin terlepas dan sebagainya saya minta maaf. Kita bukan sempurna, yang penting adalah kepada tuan badan.

“Kepada mendengar yang rasa tak sesuai, saya minta maaf. Kita pun bukan sempurna, saya pun tak tahu macam mana nak senangkan hati semua orang,” jelasnya.

Sementara itu, Azmi mengakui tidak terasa hati dengan gurauan Jihan selain memahami niat rakan-rakan industri yang hanya sekadar mahu bergurau senda

“Tak ada, memang langsung tiada, biasanya walaupun gurauan kadang-kadang kasar, bukan Jihan. Sesiapa kawan-kawan di luar sana pun.

“Tapi kita faham mereka nak bergurau dan nak rapat dengan kita. Saya tak pernah simpan dalam hati,” katanya.

Bagaimanapun, pelantun lagu Hanya NamaMu itu tidak menolak hakikat bahawa gurauan yang dilakukan kadangkala boleh disalah ertikan penonton luar yang tidak mengenali rapat keperibadian mereka.

“Dalam masa sama, kita pun akui kadang-kadang gurauan kawan-kawan, terbawa dalam televisyen. Penonton tak kenal rapat akan rasa tak seronok.

“Kita pun sama-sama minta maaf, saya sendiri pun sebab terlalu melayan sampai orang terlebih bagi,” ujarnya.

Semalam, Azmi tampil sebagai juri jemputan dalam program pentas akhir Kilauan Emas Selebriti 2026 bersama Datuk Ramli MS dan ditemani juri tetap iaitu Jihan dan Datuk Yusry.

Namun, perbualan Jihan semasa siaran langsung mewujudkan perasaan kurang senang dalam kalangan penonton terutama ketika dia beberapa kali didakwa menyentuh keadaan fizikal Azmi yang merupakan orang kurang upaya (OKU) penglihatan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok