Bisikan Nafsu bongkar ‘neraka’ ciptaan manusia

SIAPA sangka rumah yang sepatutnya menjadi kubu selamat untuk anak akhirnya bertukar kepada neraka buatan manusia. Itu yang ditonjolkan dalam filem baharu, Bisikan Nafsu.

Pengarahnya, Riza Baharudin mengheret penonton menyelami sisi gelap sebuah keluarga yang dibelenggu rahsia, pengkhianatan dan trauma selepas anak menjadi mangsa jenayah seksual bapa tiri juga penceramah terkenal dikenali sebagai Ustaz Romantik atau UR.

Penunggang agama

Memuatkan artikel berkaitan…

Ironi bukan? Seorang lelaki berstatus penceramah bebas, dipuja dalam laman sosial, namun hakikatnya di balik topeng dialah haiwan rakus yang ‘makan’ anak sendiri.

Tragedi berlandaskan nafsu syaitan itu meninggalkan luka pada tubuh dan jiwa gadis bernama Nadia lakonan Azeva, malah meragut masa depannya bersama tunang, Arisz (Aniq Suhair) apabila dia membuat cubaan menamatkan riwayat sendiri.

Di sinilah Bisikan Nafsu mula memainkan emosi penonton kerana Riza tidak menjadikan tragedi tersebut sekadar alat mencetuskan konflik, sebaliknya dikembangkan kepada persoalan lebih besar iaitu trauma seorang mangsa.

Detik hitam yang didiamkan Nadia turut menghancurkan hubungan, ikatan kekeluargaan dan masa depan insan penting yang berada di sekeliling terutama bakal suaminya.

Walaupun pertama kali muncul di layar perak dan menggalas peranan utama, lakonan Azeva tidak mengecewakan kerana bijak bermain emosi, sekali gus mengundang rasa kasihan penonton hanya melalui renungan, bahasa tubuh serta wajah yang menyimpan ketakutan.

Anak kepada pelakon dan penerbit Datuk A. Aida itu berjaya mengelakkan Nadia menjadi watak mangsa yang cuma tahu menangis dan meratap, sebaliknya, penonton dapat merasai kekeliruan serta ketakutan yang membuatkan karakternya hidup.

Aniq pula membangunkan peranan sebagai seorang lelaki yang terperangkap antara rasa kasih, kecewa dan keinginan untuk memahami wanita yang dicintainya.

ANTARA adegan dramatik filem Bisikan Nafsu yang memaparkan percubaan Nadia membunuh diri, namun diselamatkan oleh Arisz

Subjek taboo

Lakonannya juga bersahaja dan antara karakter lain yang memancing fokus adalah UR lakonan aktor versatil, Zul Huzaimy apabila pada waktu sama dia turut dibenci khalayak dengan sikap gatalnya.

Wataknya sebagai lelaki bertopengkan gelaran ustaz yang diberikan penggemarnya semata-mata kerana banyak berkongsi hal agama di media sosial bersama persona meyakinkan.

Bukan mahu memburukkan status ustaz tetapi naskhah berkenaan menggunakan peranan Ustaz Romantik sebagai sindiran kepada segelintir individu yang hanya menjadi penunggang agama.

Permainan perwatakan Zul yang tenang dan tidak terlalu melodramatik sebenarnya menjadikan karakter berkenaan lebih menakutkan.

Kontras antara imej luaran dengan perangai sebenar wataknya menjadi antara kekuatan antagonis Zul dalam filem ini, manakala Aleza Shadan sebagai Alyssa iaitu ibu kepada Nadia turut menambah lapisan konflik.

Hakikatnya, pasangan suami isteri yang secara luarannya kelihatan bahagia itu mempunyai rahsia hitam yang menjadikan kemelut dalaman kisah ini semakin dramatik.

TRAUMA wanita mangsa seksual menjadi kupasan utama dalam Bisikan Nafsu.

Dari segi penceritaan, Hello Productions milik Azeva bersama syarikat sekutu iaitu A. Aida Production serta Mache All Star United sangar berani memilih subjek taboo dan berat.

Cuma, beberapa babak ‘bercinta’ antara Nadia dan Arisz terlalu ‘jiwang’ dan meleret hingga hilang seketika konsentrasi khalayak yang sebelum itu masih terkesan dengan adegan
mendebarkan.

Bagaimanapun, kelemahan itu dikaburi dengan tenaga serta penjiwaan barisan pelakon termasuk Raja Azmi yang cukup selamba beraksi sebagai seorang nenek.

Apa pun, setiap karakter sama penting dalam menghidupkan jalan cerita serta memastikan penonton tidak hilang fokus.

Bakal berada di 70 pawagam bermula 1 Oktober, pujian wajar diberikan kepada penerbitnya, Azeva yang berani ‘menjual’ genre drama-thriller ketika filem aksi masih mendominasi pawagam.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok