GARA-GARA tidak berkongsi ucapkan bersempena ulang tahun ke-65 Michael Jackson, Paris yang merupakan anak kedua Raja Pop itu diminta peminat tegar mendiang bapanya supaya membunuh diri.
Enggan berdiam apabila berdepan buli siber, penyanyi, pelakon dan model berusia 25 tahun itu secara terbuka berharap netizen tidak mengatur kehidupannya.
Paris atau nama sebenarnya Paris-Michael Katherine Jackson lantang menyatakan pihak berkenaan mengukur tahap kasih sayang hanya dengan berpandukan hantaran dalam Instagram.
Katanya, hakikat sebenar dilalui mereka adalah Michael sendiri kurang selesa menyambut hari jadi hingga tidak mendedahkan tarikh sebenar detik kelahirannya kepada anak-anak.
“Sebenarnya dia tak suka orang adakan majlis untuk sambutan ulang tahunnya.
“Tetapi sekarang apabila saya beberapa kali tidak kongsikan apa-apa pada hari jadinya, orang mula naik gila.
“Mereka harap saya bunuh diri. Secara asasnya tahap kasih sayang saya diukur dengan perkongsian mengenai bapa saya menerusi laman sosial,” luahnya.
Malah dia sempat menyindir dengan berharap mereka meraikan sambutan itu dengan perkara bermanfaat yang disukai bapanya termasuk melakukan kerja amal dan laksanakan kempen mengenai perubahan iklim.
Perkara tersebut dizahirkan dalam sebuah video di Instagram yang kemudian disambung kepada klip persembahannya di Amphitheater Las Colonias Park di Grand Junction, Colorado, pagi kelmarin.
Pada kemunculannya selaku artis pemanas pentas konsert Incubus, Paris dilihat mengumumkan mengenai hari lahir Michael yang sepatutnya berusia 65 tahun pada 29 Ogos lalu.
“Dia menghabiskan 50 tahun hidupnya dengan darah, keringat, air mata dan cinta serta kecintaan untuk melakukan semuanya.
“Saya dapat berada di sini, di depan anda semua, dan menyanyi. Jadi saya sangat berhutang terlalu banyak padanya,” ucap anak perempuan tunggal daripada tiga bersaudara itu.
Ketika Paris di Colorado, Prince, 26, dan Blanket, 21, pula hadir ke majlis memperingati penghibur ikonik terbabit di Las Vegas anjuran peminat.
Dinamakan ‘Blue Sapphire Birthday Celebration’, majlis yang berlangsung di Mandalay Bay Resort and Casino itu turut dimeriahkan pelbagai aktiviti termasuk persembahan nyanyian dan akrobatik.
Ini adalah tahun ke-10 Michael Jackson ONE show yang merupakan upacara memperingati bintang legenda itu.
Jackson menghembuskan nafas terakhir di usia 50 tahun akibat pengambilan dos ubat tidur berlebihan di Los Angeles pada 25 Jun 2009.
Doktor peribadinya, Conrad Murray, dipenjarakan dua tahun atas kesalahan kecuaian yang menyebabkan kematian penghibur tersebut. – HIBGLAM