Penyanyi Elyana berang apabila anak keduanya, Cahaya Ramadhani terpaksa berdepan dengan perbuatan jahat pihak tertentu.
Tidak memperincikan perkara tersebut, dia hanya menegaskan enggan memaafkan tindakan individu dikenalinya itu terhadap anak angkat yang dianggap sebagai darah daging sendiri.
“Anak perempuanku Cahaya Ramadhani. Ramai yang tanya Caca anak siapa? Cahaya Ramadhani adalah anak kesayangan saya walaupun bukan dari rahim saya.
“Saya sedaya upaya menyayangi serta menjaga dia dengan kemampuan saya dari usia Caca enam hari.
“Kepada pihak yang selama ini jahat kepada anak ini, susah sekali saya memaafkan anda. Terlalu hancur hati saya dengan perbuatan anda,” katanya dalam perkongsian di Instagram.
Malah pemilik nama Erneelya Elyana Emrizal, 36, itu berharap individu dimaksudkan diberikan kesedaran menjadi insan berhati mulia pada masa akan datang.
“Saya berdoa semoga suatu hari nanti anda menjadi manusia yang lebih memanusiakan manusia lain. Anda tahu siapa anda,” kongsinya.
Selain Cahaya Ramadhani, empat tahun, Elyana dan suaminya, Khairul Anuar Husin turut menjaga seorang lagi anak angkat istimewa yang diberi nama Tulus.
Malah perkahwinan yang dibina pada 2010 itu lebih dulu diserikan seorang cahaya mata perempuan iaitu Cinta Sumayah, 13 tahun. – KOSMO! ONLINE