‘Saya tak boleh tunggu netizen ‘approve’ baru bekerja’

PERNAH berdepan fasa diperangi seluruh rakyat Malaysia sehingga terlintas dalam fikiran ibu kandung sendiri bahawa masa depannya sudah tamat, sungguh, lelaki bernama Aliff Aziz itu tidak pernah menyangka masih diberi ruang besar untuk berdiri dalam industri seni di tempat yang bukan tanah tumpah darahnya ini.

Lebih mengejutkan, ketika kelibatnya belum benar-benar terlepas daripada bayang kontroversi silam, seorang legenda bernama Datuk M. Nasir berani mempertaruhkan dirinya menggalas watak utama sebagai Sultan Mansur Shah dalam pementasan teater muzikal Mansur & Liu.

Bagi Aliff atau atau nama sebenarnya, Mohammad Aliff Aziz, 35, kepercayaan tersebut bukan sekadar tawaran kerja, sebaliknya anugerah yang menyedarkan bahawa perjalanan hidup seseorang tidak ditentukan oleh persepsi manusia.

Dia bahkan secara peribadi mengakui jika berada di kerusi penerbit atau pengarah, mungkin dia sendiri akan berfikir berkali-kali sebelum ambil individu bernama Aliff Aziz sebagai sandaran utama sesebuah naskhah.

Saya sangat bersyukur dan hargai kepercayaan Datuk M. Nasir. Kalau saya pengarah, saya pun tak pilih Aliff Aziz ini.

“Jadi, apabila Datuk dan Datin Marlia Musa memberikan kepercayaan serta tanggungjawab sebesar ini kepada saya, saya sedar mereka sebenarnya mengambil risiko yang sangat besar,” kongsinya kepada HibGlam.

TITIK mula Aliff benar-benar bangkit ke dunia seni adalah sewaktu menyahut tawaran drama kontroversi, Madu atau Racun pada penghujung tahun lepas.

Kata Aliff, sasaran utamanya bukan untuk memuaskan hati semua orang, sebaliknya mahu memastikan dua individu yang memberikan kepercayaan tersebut tidak menyesal memilihnya sebagai Mansur.

Baginya, cukuplah sekiranya M. Nasir dan Marlia berpuas hati melihat komitmen serta persembahannya selepas seluruh tenaga dicurahkan sepanjang tempoh latihan lebih 50 hari.

Memang penat dan berbeza memandangkan ini teater pertama saya. Tetapi saya tak pernah merungut walaupun terpaksa berlatih dari pagi sampai malam.

“Saya cuma fikir, Allah masih beri saya rezeki. Jadi saya kena pikul tanggungjawab tersebut dan buat sebaik mungkin,” ujarnya yang turut menyanyikan lapan buah lagu baharu nukilan M. Nasir dalam muzikal berkenaan.

Bimbang persepsi

Di sebalik keterujaan memikul amanah tersebut, Aliff mengakui dihantui kebimbangan, apakah kehadirannya bawa kesan buruk kepada produksi gara-gara persepsi masyarakat terhadap dirinya.

Dia malah hampir menolak tawaran tersebut kerana takut orang ramai enggan membeli tiket hanya disebabkan namanya berada dalam barisan pelakon.

Awal-awal, saya risau juga, ada ke orang nak datang? Saya kasihankan pelakon lain. Saya takut nanti orang tak datang disebabkan saya.

“Saya hampir nak tarik diri, tetapi apabila saya dikelilingi orang yang positif, saya mula melihat daripada sudut lebih positif,” katanya tentang teater yang dipentaskan selama 11 hari di Istana Budaya bermula 10 September lalu.

Ditanya sama ada Mansur & Liu boleh dianggap sebagai titik kemunculan semulanya selepas melalui tempoh sukar, Aliff bagaimanapun enggan terlalu yakin menggunakan istilah ‘comeback’.

Pengalaman lalu ternyata mengajarnya agar tidak terlalu cepat mengisytiharkan sesuatu kerana kehidupan boleh berubah sekelip mata.

“Saya takut nak jawab bila orang tanya ini ‘comeback’ atau tidak, sebab saya pernah jawab soalan yang sama sebelum ini, kemudian saya diuji sekali lagi.

Sekarang saya cuma fikir, Allah masih bagi rezeki walaupun saya sendiri sebagai individu kadang-kadang rasa macam tak layak dapat benda ini.

“Jadi apabila Allah dah bagi, saya buat sebaik mungkin. Selepas ini ada kerja atau tak ada kerja, itu Allah tentukan,” katanya.

Netizen

Aliff juga tidak menafikan kecaman hebat yang diterima selepas kontroversi rumah tangga sebelum ini pernah mencampakkan diri ke gaung ‘kehancuran’ sehingga terfikir untuk berputus asa.

Ketika berada pada tahap tersebut, ibu bapa dan rakan-rakan dari jemaah tabligh hadir membantunya untuk berdiri semula.

Saya pun pernah putus asa dengan apa yang jadi. Umi (panggilan untuk ibu) pernah beritahu, pernah terlintas di hatinya yang anak dia ini mungkin sudah tidak boleh ke mana-mana atau senang cakap sudah tiada masa depan dalam industri seni,” ujarnya.

DI tangan M. Nasir, pasukan produksi dan di sisi Melinda Dadew, aura Mansur kini selayaknya milik Aliff Aziz.

Pandangan ibunya bagaimanapun berubah apabila Alif kembali mendapat tawaran kerja, termasuk kepercayaan besar produksi Mansur & Liu.

“Umi kata perkara itu seperti satu teguran keras daripada Allah untuk dirinya. Seolah-olah Allah berkata, ‘Engkau siapa untuk tentukan anak engkau tak ada rezeki? Kalau Aku nak bagi, siapa boleh cakap apa?’

“Saya tersentak apabila Umi cakap begitu. Ibu saya sendiri yang sentiasa berada di belakang saya pernah terlintas saya dah tak boleh pergi mana-mana, tetapi apabila Allah nak bagi rezeki, ibu saya sendiri pun tak boleh pertikaikan,” katanya.

Tidak cuba menegakkan benang basah, Aliff mengakui segala kesalahan yang pernah dilakukan berpunca daripada kelemahan sendiri. Dia juga tidak pernah meminta masyarakat menganggap apa yang berlaku dahulu sebagai sesuatu yang betul.

“Salah tetap salah. Saya tak pernah membetulkan kesalahan yang saya buat. Saya mengaku saya manusia yang sangat jauh daripada sempurna. Mungkin orang kata saya buat silap sampai 11 kali baru sedar.

Ada orang belajar selepas sekali, ada mungkin selepas 100 kali. Tetapi sampai bila seseorang itu mahu terus dihukum?” soalnya.

Pada masa sama, Aliff mengaku mustahil langsung tidak terasa apabila cacian dan kisah silam terus dimainkan biarpun kontroversi besar tersebut sudah lama berlalu.

“Kalau kata saya tak rasa apa-apa, tipulah sebab saya manusia. Saya terasa dan sedih apabila baca, tetapi saya ada dua pilihan. Sama ada saya biarkan komen itu rosakkan diri atau saya teruskan hidup.

Saya tak boleh tunggu netizen ‘approve’ baru boleh bekerja. Kalau saya ikut semua orang yang kata Aliff tak guna, baik saya duduk rumah sahaja dan tak payah buat apa-apa,” katanya.

Bahkan, Aliff mempunyai persoalan buat netizen yang masih menghukum orang berdasarkan kesalahan masa lalu.

“Saya ada soalan kepada netizen yang berhati mulia. Apabila tengok seorang artis dilanda kontroversi, sebenarnya netizen mahu apa?

Awak (netizen) nak dia (artis) bunuh diri baru puas hati atau mahu artis berubah ke arah lebih baik?

“Tetapi apabila artis cuba buat baik, netizen kata dia tunggang agama. Bila artis buat perkara tidak baik, netizen maki pula. Jadi, netizen mahu apa sebenarnya” soalnya.

Tegas pelantun lagu Sayang Sayang itu, artis juga manusia biasa yang melakukan kesilapan. Tugas sebagai penghibur dan masyarakat tidak sewajarnya meletakkan tuntutan kesempurnaan melampaui batas.

Disebabkan itu juga, Aliff mengakui memilih untuk tidak terlalu melayani platform Threads kerana enggan terbelenggu dengan kata-kata negatif, malah sedih melihat sesetengah pengguna begitu mudah melontarkan penghinaan terhadap orang lain.

“Saya bukan ustaz, saya bukan orang alim dan saya tahu saya banyak kesilapan. Tetapi kadang-kadang apabila baca komen, saya terfikir, kita bercakap ini telinga siapa yang paling dekat dengan mulut kita?

“Telinga kita sendiri. Jadi, apa yang saya cakap ini pun sebenarnya peringatan untuk diri saya.

Suka atau tidak, satu hari nanti kita akan dipertanggungjawabkan atas apa yang kita buat. Saya sendiri banyak dosa dan salah dengan orang. Saya pun pening memikirkan bagaimana hendak menyelesaikan kesalahan saya dengan orang yang pernah saya zalimi.

“Sebab itu sekarang saya lebih banyak fikir tentang diri sendiri daripada menghukum orang lain,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok