“KALAU orang kata saya mirip arwah, itu pujian paling besar.”
Demikian luahan penuh emosi pelakon Mila Mohsin apabila tidak mampu menahan sebak mengenang bapanya, Allahyarham Hani Mohsin yang pergi buat selama-lamanya ketika usianya belum mencecah 10 tahun.
Mila atau nama sebenarnya Hani Karmila Hani Mohaib, 29, berkata, setiap kali orang menyamakan mereka, itu bukan sekadar persamaan rupa atau perwatakan, sebaliknya mengingatkan bahawa sebahagian daripada insan yang paling dicintai masih hidup dalam dirinya.
Pada masa sama, pelakon teater Puteri Gunung Ledang The Musical itu menyifatkan bapanya juga merupakan antara insan paling besar pengaruhnya dalam membentuk keperibadian dan dirinya.
“Sukar untuk saya percaya sebab arwah meninggal dunia sebelum saya berusia 10 tahun. Namun, arwah banyak membentuk diri saya menjadi seperti hari ini.
“Apabila ada orang yang pernah bertemu dan mengenali arwah beritahu saya sangat mirip dengannya, saya berasa sangat gembira.
“Arwah insan terbaik yang pernah saya kenali. Arwah bekerja keras setiap hari,” katanya ketika menjadi tetamu podcast Studio Sembang bersama aktres Amelia Henderson, baru-baru ini.
Menurut Mila lagi, semangat insan kesayangan termasuk ibunya, Puan Seri Tiara Jacquelina menyuntik kesungguhan untuk berbuat sehabis baik dalam kehidupan serta kerjayanya.
“Saya selalu rasa usaha saya masih belum cukup kerana saya tahu betapa kuatnya arwah bekerja. Begitu juga dengan ibu saya,” ujarnya.
Menurut Mila lagi, setiap detik bersama bapanya cukup bermakna kerana kasih sayang yang dicurahkan dapat dirasai sepenuhnya meskipun tempoh mereka bersama tidak lama.
Katanya, kehilangan figura yang dianggap adiwira dalam hidupnya itu tetap meninggalkan ruang besar, malah segala pengorbanan dan kasih sayang arwah menjadi sumber kekuatan sehingga kini.
“Arwah akan sentiasa memastikan dirinya tidak terlalu sibuk apabila saya bersamanya. Arwah sangat menyayangi saya dan saya dapat merasakan sepenuhnya kasih sayang itu.
“Bagi arwah, semuanya tentang kerja dan kasih sayangnya kepada saya. Arwah ibarat adiwira dalam hidup saya,” katanya menahan sebak.
Walau hanya sempat menikmati kasih sayang bapanya dalam tempoh singkat, Mila mengakui legasi Hani terus hidup dalam dirinya, terutama menerusi kerja keras serta cinta terhadap keluarga.
Terdahulu, Allahyarham Hani Mohsin meninggal dunia akibat serangan jantung pada 25 Julai 2006 ketika menunggu penerbangan ke Pulau Langkawi bersama Mila. – HIBGLAM

