“Alhamdulillah, saya rasa seperti Allah sudah mengangkat satu beban dari hati saya.”
Demikian respons Nurul Shuhada Mat Shukur apabila sah bercerai talak satu dengan pelakon Hafidz Roshdi di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pagi tadi.
Dalam linangan air mata, ibu kepada dua zuriat itu menzahir rasa syukur dan berharap dirinya lebih bersemangat meneruskan kehidupan.
Saya akan lebih bersemangat bergelar ibu tunggal kerana tidak lagi bergantung kepada orang lain. Hanya diri sendiri dan Allah,” katanya.
Sementara itu, Hafidz Roshdi atau nama lengkapnya Muhammad Hafidz Roshdi, 29, turut meluahkan rasa syukur dan menghormati keputusan mahkamah pada hari ini.
Syukur kes kami sudah selesai dengan baik yang mana hari ini sudah bercerai talak satu. Terima kasih kepada semua yang menghormati privasi saya.
“Saya menghormati keputusan mahkamah dan semuanya selesai dengan cara baik serta tiada pergaduhan,” katanya kepada HibGlam.
Peguam mewakili Hafidz, Akberdin Abd Kadir berkata. mahkamah hanya menerima satu lafaz cerai sahaja iaitu melalui panggilan telefon bertarikh 22 Februari tahun ini.
Dakwaan sebelah pihak lagi yang mendakwa lafaz cerai menerusi Whatsapp pada 20 Januari tidak diterima oleh mahkamah.
“Maka perceraian adalah talak satu bertarikh 22 Februari 2023,” tambahnya.
Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam menetapkan pengesahan lafaz cerai hari ini di hadapan Hakim Syarie, Siti Rahmah Hussin.
Sebelum ini, peguam syarie mewakili Hafidz iaitu Ummi Kartini Abd Latiff memaklumkan terdapat lafaz cerai di luar mahkamah yang didakwa berlaku sebanyak dua kali.
Nurul Shuhada mendakwa suaminya ada melafazkan cerai melalui aplikasi WhatsApp pada 20 Januari.
Hafidz turut dilaporkan melafazkan cerai kepada Shuhada melalui panggilan telefon di hadapan keluarga masing-masing kali kedua 22 Februari lalu.
Sebelum ini, Shuhada memfailkan proses pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 28 Februari lalu.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan mereka dikurniakan dua cahaya iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2 tahun.
Kemelut rumah tangga mereka menjadi bualan ramai selepas mendakwa diganggu pihak ketiga. – HIBGLAM