MESKIPUN setiap hari menerima ratusan permohonan menjadi suri hidup dalam emel dan media sosial, pempengaruh popular Khairul Aming belum bersedia menamatkan zaman bujang dalam tempoh terdekat.
Jelas Khairul atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman, 32, fokusnya kini lebih tertumpu kepada kepada memperkukuhkan perniagaan dan kerjaya sebagai pencipta kandungan.
“Boleh dikatakan hampir setiap hari saya menerima ratusan mesej (DM) dalam media sosial dan resume menerusi emel resume untuk menjadi isteri.
Agak mengejutkan juga tetapi itulah yang berlaku. Walaupun orang kata seperti perigi cari timba, saya sangat kagum dengan keberanian mereka untuk bertanya.
“Tetapi sayangnya tuan badan pula yang tidak sempat untuk memikirkan soal pasangan apatah lagi berkahwin,” katanya kepada HibGlam.
Khairul Aming turut menzahirkan rasa syukur apabila keluarga tidak pernah mendesak dia segera mendirikan rumah tangga.
Alhamdulillah keluarga memahami kesibukan jadual kerja saya menguruskan kilang, pekerja, produk dan konten.
“Walaupun sebelum ini ada juga keluaga bertanya bila nak kahwin tetapi sekarang mereka serahkan semua kepada saya,” katanya.
Tahun lalu timbul dakwaan mengatakan dirinya sudah mempunyai kekasih selepas tular video dia berbual mesra dengan seorang wanita di sebuah kafe.
Khairul Aming bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dengan mengatakan wanita terbabit hanyalah peminat yang mahu merakam TikTok bersamanya. – HIBGLAM