‘Arwah selalu cakap mahu ‘pergi’ dengan mudah, tak nak susahkan orang’

HANYA sempat membawakan dua lagu sebelum rebah, hasrat vokalis kumpulan Bumiputra Rockers (BPR), Allahyarham Joey untuk menghabiskan persembahan Program Laman Santai di Istana Budaya, malam tadi tidak kesampaian.

Isterinya, Zarinah Zainal, 60, berkata, Joey atau nama sebenarnya Johari Mat Rozekhi, 63,sepatutnya menyampaikan tiga lagu namun mula hilang kesimbangan sebelum rebah di atas pentas, sekitar pukul 11 malam.

“Mulanya saya dengan Acong Sweet Child selaku pengacara majlis menyangka dia sekadar hilang imbangan dan ambil keputusan duduk mencangkung sebelum berdiri semula.

Dia kemudian ke belakang pentas meminta air, tetapi keadaannya semakin lemah sebelum dipapah pihak pengurusan acara.

“Mujur pihak Istana Budaya menyediakan ambulans di tapak program sebelum arwah terus dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HKL, hari ini.

Menurut Zarinah lagi, suaminya itu masih boleh berbual seketika, namun tampak kurang bermaya.

Setibanya di HKL, dia ada mengadu pening dan rasa berpusing-pusing. Hasil ujian imbasan CT (CT Scan) mendapati terdapat pendarahan pada bahagian otak,” ujarnya.

Kongsi wanita itu lagi, pendarahan yang dialami Joey adalah di luar jangkaan dan keluarga juga hanya mengetahui mengenai masalah jantung dialaminya, baru-baru ini.

Katanya, arwah sepatutnya menghadiri temu janji untuk pemeriksaan susulan jantung di Hospital Serdang pada 8 September ini.

Mengenai keperibadian teman hidup yang dinikahi lebih sedekad lalu, Zarinah menyifatkan suaminya sebagai seorang insan pemurah serta tidak suka menyusahkan orang lain.

“Dia memang tidak boleh tengok orang susah. Semalam, usai sound check, dia sempat beli makanan untuk pengawal keselamatan.

Arwah juga pernah maklumkan bermimpi bertemu arwah ibunya, datuk dan neneknya tetapi selalu dia cakap kalau terjadi apa-apa padanya, dia mahu ‘pergi’ dengan mudah. Tak nak susahkan orang,” katanya.

Sementara itu, anak tiri arwah yang juga rapat dengannya, Shazana, 35, berkata, insan dihormatinya itu kebelakangan ini tidak menunjukkan tanda sakit.

“Sebelum naik ke pentas, arwah sempat berjalan mengelilingi pentas sambil memegang tangan cucunya. Dia memang sangat rapat dan memanjakan anak-anak serta cucu.

“Kami pun reda kerana di penghujung hayat dia dalam keadaan ceria, bahkan. di Istana Budaya semalam turut mendapat layanan baik,” katanya.

Allahyarham  meninggalkan dua anak lelaki kembar yang menetap di Singapura, empat anak tiri dan cucu.
disahkan menghembuskan nafas terakhir di HKL pukul 8.11 pagi tadi.

Urusan jenazah disempurnakan di Masjid Ukay Perdana, Ampang, manakala solat jenazah akan dilakukan selepas Asar sebelum dikebumikan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok