Bagaikan sudah hilang rasa malu, pelakon dan usahawan, Rozita Che Wan meluahkan rasa geram terhadap segelintir wanita yang tidak segan silu berkongsi secara terperinci pengalaman melahirkan anak.
Ujar Rozita yang mesra disapa Che Ta, 51, ramai perempuan sekarang kononnya mempunyai pemikiran terbuka sehingga hilang rasa malu untuk bercerita perkara yang tidak sepatutnya.
“Risau zaman ini ramai dah kurang rasa malu! Semua benda lah nak canang biar satu dunia tahu terkoyak ke, terjahit ke, terjelir ke.
“Ya Allah zaman sekarang ni sampai dah tak ada perasaan malu langsung. Takkan lah kita beranak jahit tak jahit pun kita pergi tunjuk dekat orang.
“Koyak berapa sentimeter pun nak cerita dekat orang. Adui kalian simpan sikitlah malu tu,” selarnya menerusi hantaran Instagram.
Mengangap cerita sebegitu tidak berfaedah, ibu kepada tiga cahaya mata itu menegaskan banyak lagi hal lain yang boleh diberi perhatian daripada isu dalam kain.
“Yang berita pun merapu-rapu cerita sampai dah tak ada cerita ke? Tak ada komen-komen netizen pasal harga diesel naik ke?
“Aku rasa macam nak naik basikal je lepas ni. Minyak naik, diesel naik, subsidi dah kena potong. Mari kita berbasikal,” ujarnya sinis.
Meskipun tidak memetik mana-mana nama namun ramai netizen menganggap kenyataan isteri kepada pelakon Zain Saidin itu ditujukan kepada pempengaruh, Nelysa Norazlan.
Pensohor media sosial itu sebelum ini berkongsi dengan pengikutnya tentang pengalaman melahirkan anak secara normal tanpa terkoyak dan dijahit. – HIBGLAM