Lakonan raih pujian, Afieq Shazwan takut ‘melekat’ watak lelaki lembut

BIMBANG dilabel sebagai lelaki lembut, pelakon Afieq Shazwan hampir menolak tawaran menjayakan watak Izmeer dalam drama terbitan iQIYI Original, Sekali Lagi Bahagia.

Afieq atau nama lengkapnya Mohammad Shafieq Shazwan Zamros, 29, berkata kerisauan timbul disebabkan dia enggan karakter tersebut mencetuskan persepsi buruk dalam kalangan penonton, apatah lagi watak digalas jauh berbeza dengan personalitinya.

“Ketika mula-mula dapat tawaran, memang saya hampir tolak kerana takut nanti orang cop saya sebagai lelaki lembut. Saya juga takut kena kecam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tetapi dalam industri hiburan, sama ada baik atau sebaliknya, kalau orang nak kecam, tetap mereka akan kecam. Jadi, saya reda sahaja.

“Selepas berfikir masak-masak serta faham kepentingan perwatakan biarpun mungkin boleh menimbulkan persepsi tertentu, saya akhirnya cabar diri,” katanya selepas sidang media Sekali Lagi Bahagia, baru-baru ini.

Pada masa sama, dorongan untuk mencuba karakter mencabar itu berganda selepas memahami keseluruhan skrip selain percubaan meneroka watak berbeza namun takut andai ‘melekat’ dengan watak lembut selepas ini.

“Watak Izmeer memang berbeza dengan peranan yang pernah saya bawakan sebelum ini. Saya perlu belajar bertutur dengan lembut dan lebih sopan.

“Saya berlatih depan cermin dan di rumah sampai ibu saya tergelak-gelak. Cuma apabila orang kata mereka suka watak itu, saya jadi takut. Takut melekat iaitu diajukan lebih banyak tawaran karakter seperti ini,” katanya.

Bagaimanapun, Afieq yang juga penyanyi menyifatkan kepelbagaian watak sebagai ruang untuk mengembangkan lagi bakat lakonannya.

“Saya sukakan variasi. Kalau selepas ini datang watak baharu yang saya tidak pernah buat, saya akan buat dan jadikan karakter itu lebih menarik,” ulasnya.

Menerusi drama bersiri arahan Jamal Khan itu, Afieq sebagai adik kepada Ekin lakonan Zara Zya yang memberi pelindungan kepada kakaknya selepas diceraikan suami.

Barisan pelakon lain dalam naskhah yang kini dapat diikuti di saluran penstriman iQIYI ialah Izzue Islam, MK K-Clique, Dayang Areeda serta Datin Seri Noniswara. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok