BIMBANG dengan penerimaan anak, pelakon Aleza Shadan serba salah untuk merealisasikan babak berendam dalam kolam renang dalam filem Bisikan Nafsu.
Aleza atau nama sebenarnya, Norhasliza Shadan, 51, berkata sepanjang lebih dua dekad di arena seni dia belum pernah melakukan adegan seumpama itu, sekali gus kurang selesa andai dianggap mahu tampil seksi.
“Awal-awal memang saya tidak nak masuk kolam. Kalau melibatkan babak seksi begini saya tak nak sebab anak saya sudah besar. Jadi, malulah dengan mereka.
“Benda lain saya boleh buat, tetapi bila melibatkan perkara ini semua, saya rasa segan tetapi akhirnya saya akur dengan permintaan pengarah, Riza Baharudin selepas memahami kepentingan adegan berkenaan.
“Tambahan pula bukan saya berbaju mandi mencolok mata. Jangan ingat saya suka-suka masuk kolam dengan umur saya macam ini,” katanya ketika ditemui selepas tayangan perdana filem Bisikan Nafsu, semalam.
Mengakui naskhah terbitan milik pelakon, Azeva itu memberi cabaran tersendiri, Aleza berkata penggambaran babak dalam kolam renang juga dilakukan pada waktu malam di Janda Baik dengan keadaan air yang sejuk.
“Bayangkan tengah malam, air kolam pula sangat sejuk di Janda Baik. Nak tak nak, kena buat. Mula-mula memang banyak silap dan kena ‘take’ beberapa kali.
“Sebenarnya banyak lagi adegan mencabar termasuk saya jatuh berguling di lereng curam. Kalau silap mendarat memang berisiko cedera.
“Tapi saya rasa babak berguling itu lebih senang daripada masuk ke dalam air yang sejuk seperti ais,” ujarnya selaku penggalas watak Alyssa.
Mengenai adegan lasak seperti pergaduhan serta terjatuh di lereng curam katanya, dia melakukan sendiri sebahagian aksi tersebut sebelum bahagian yang lebih berbahaya diserahkan kepada pelakon lagak ngeri.
“Jatuh berguling-guling saya buat sendiri, apabila turun ke bawah cerun kami gunakan stuntman. Ada calar sedikit, biasalah kerja. Kalau tak calar, tak kerjalah,” selorohnya.
Selain Aleza, filem berkisar kisah haruan makan anak yang bakal ditayangkan mulai 1 Oktober ini turut membariskan Azeva, Aniq Suhair, Zul Huzaimy, Raja Azmi dan Ezzaty Abdullah. – HIBGLAM

