Tak jadi kahwin, Wanna Ali batal hasrat bersara

LEBIH sedekad mewarnai industri hiburan tanah air dengan bakatnya sebagai pelakon dan penyanyi, Wanna Ali  merancang untuk menoktahkan kembara seninya selepas mendirikan rumah tangga.

Namun, sudah tertulis janji yang diikat bersama seorang ahli perniagaan terlerai di tengah jalan baru-baru ini.

Tidak kesal dengan apa yang terjadi, Wanna atau nama lengkapnya Nor Syazwana Mohd. Ali bersyukur dengan penentuan Tuhan buat dirinya. Barangkali ada pengganti lebih baik di kemudian hari.

“Kalau ikutkan perancangan, saya bakal menamatkan zaman bujang pada tahun hadapan. Kami berdua sudah pun berbincang untuk ke fasa yang lebih serius (bergelar suami isteri).

“Saya sendiri sudah mengambil keputusan untuk berhenti daripada dunia seni selepas berkahwin dan menjalankan perniagaan bersama-sama.

“Dia sendiri kata, selepas berkahwin, dia tidak mahu saya aktif lagi dalam bidang seni. Malah dia turut berjanji untuk menyokong saya dari belakang.

“Tetapi jodoh kami tidak panjang. Hubungan kami berakhir sekitar pertengahan tahun ini,” ujar si manis berusia 26 tahun itu.

LEBIH 10 tahun bergelar anak seni, Wanna bersyukur rezekinya semakin murah mutakhir ini.

Ketika disoal tentang punca perpisahan tersebut, tiada lagi persefahaman menjadi sebab hubungan cintanya bersama jejaka itu berakhir.

Akibatnya, segala yang diimpikan harus ketepikan selain terpaksa menarik semula hasrat mengucapkan selamat tinggal terhadap kerjaya seni.

“Puncanya kerana tiada lagi persefahaman. Mungkin kerana kami terlalu cepat berbincang mengenai fasa perkahwinan,” ujarnya seraya tersenyum.

Puteri kepada penerbit terkenal, Datuk Ayu Puteh itu turut menzahirkan rasa syukur apabila rezekinya semakin mencurah-curah bukan sahaja dalam kerjaya seni, bahkan sebagai duta produk kecantikan.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok