Enam tahun bercinta, tup-tup Lady Gaga kini seorang ibu

DIVA pop antarabangsa, Lady Gaga kini bergelar seorang ibu selepas enam tahun menjalin hubungan cinta dengan tunangnya yang juga ahli perniagaan, Michael Polansky.

Berita tersebut dilaporkan Page Six selepas pasangan berkenaan dilihat keluar bersama bayi mereka di Northern California baru-baru ini.

Kemunculan tersebut menjadi penampilan pertama Gaga dan Polansky bersama bayi mereka selepas pasangan itu sebelum ini mengambil pendekatan untuk merahsiakan perkembangan kehidupan peribadi daripada perhatian umum.

Bagaimanapun, identiti bayi berkenaan masih belum didedahkan termasuk nama, jantina dan tarikh kelahirannya.

Ramai dalam kalangan peminat musykil sekali gus menebak Gaga menjadi seorang ibu dengan menggunakan kaedah ibu tumpang (surrogacy) yang popular dalam kalangan orang Barat. Bagaimanapun, sehingga kini tiada laporan sahih yang mengesahkan Lady Gaga menggunakan kaedah tersebut.

Gaga, 40, dan Polansky, 42, mula menjalin hubungan pada 2019 sebelum bertunang pada 2024.

Pasangan itu juga semakin jarang muncul di khalayak ramai sejak beberapa bulan kebelakangan ini sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai status hubungan mereka.

Gaga atau nama sebenarnya Stefani Joanne Angelina Germanotta kali terakhir dilihat secara terbuka pada Ogos lalu ketika melayan permintaan peminat untuk bergambar di Northern California.

Sebelum itu, pelantun lagu Poker Face tersebut dilihat menghadiri sebuah acara di Los Angeles pada Mei lalu.

Gaga turut menamatkan jelajah The Mayhem Ball pada April lalu selepas hampir sembilan bulan mengadakan persembahan di serata dunia membabitkan 86 pertunjukan.

Dalam pada itu, hasrat Gaga untuk bergelar ibu bukan lagi rahsia apabila penyanyi berkenaan pernah berkongsi impiannya mengenai alam keibuan dalam temu bual bersama The New York Times pada Mac 2025.

Saya teruja untuk menjadi seorang ibu. Dahulu saya mempunyai banyak kebimbangan mengenainya,” katanya.

Gaga ketika itu turut mengakui mahu memberikan ruang kepada anak-anaknya untuk membesar sebagai diri sendiri tanpa dipaksa menjalani kehidupan yang ditentukan oleh orang lain.

Pada masa sama, penyanyi itu pernah berdepan dilema untuk mengimbangi kecintaan terhadap kerjaya seni dengan impiannya membina keluarga.

Saya juga kadangkala berperang dengan diri sendiri ketika bersiap untuk menjadi seorang ibu tidak lama lagi,” katanya.

Namun, dalam kemunculan di The Late Show with Stephen Colbert pada Oktober 2025, Gaga seolah-olah sudah bersedia untuk menyambut fasa baharu dalam hidupnya.

“Saya mahu melakukan banyak perkara. Semua itu terbuka, tetapi apa yang saya benar-benar mahu ialah menjadi seorang ibu. Itu peranan utama saya yang seterusnya,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok