Pakai loket huruf Z, Fyna belum ‘move on’?

PENYANYI Fyna Jebat kembali menjadi sorotan apabila dilihat memakai rantai leher berhias loket huruf Z yang
didakwa netizen merujuk kepada nama bekas suaminya, Datuk Zainal Abidin.

Hadir memberikan sokongan kepada peserta Famili Duo 2023 (FD3) pada konsert minggu keempat Ahad lalu, bekas peserta program realiti pertandingan itu bagaimanapun mengakui hidupnya kembali tenang selepas bercerai.

Malah tegasnya, imej baharu berambut pendek langsung tiada kaitan dengan perceraian mereka, sebaliknya dia hanya kembali kepada gaya lama ketika menyertai Akademi Fantasia pada 2011.

Begitupun, rata-rata netizen menganggap Fyna atau nama sebenarnya Nur Syafinaz Jebat, 30, belum dapat melupakan Zainal walaupun mengakui sudah tiada ikatan dengan bekas pemain bola sepak tersohor terbabit.

Perkara tersebut diperkatakan pengikut dalam ruangan komen Instagram yang beranggapan hati penyanyi Menangis Lagi itu masih ‘terikat’ dengan bekas suaminya.

Namun, ketika ramai mempertikaikan tindakan Fyna menggayakan loket berkenaan, masih ada peminat mempertahankan pilihannya.

Mereka menegaskan penyanyi terbabit sudah lama memakai rantai dan loket Z, cuma ketika itu orang ramai tidak menyedarinya.

Fyna bergelar isteri kedua Zainal, 62, pada awal tahun ini, namun sekitar Ogos lalu pernikahannya dengan personaliti sukan popular itu disahkan sudah bernoktah, dipercayai tiga bulan sebelumnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok