Nabila Razali kini milik Nik Iruwan

DENGAN sekali lafaz, penyanyi dan pelakon, Nabila Razali selamat bergelar isteri kepada bekas pemandu litar Formula, Nik Iruwan Nik Izani kira-kira pukul 10.11 pagi tadi.

Majlis yang berlangsung secara tertutup di The Chateau, Bukit Tinggi itu menyaksikan Nabila atau Nur Nabila Mohd. Razali menerima mas kahwin sebanyak RM22.50 manakala wang hantaran dirahsiakan.

Pasangan tersebut dinikahkan oleh jurunikah Ustaz Fawwaz.

Dengan bertemakan English Garden, Nik Iruwan, 38,  kelihatan kacak mengenakan busana lengkap berwarna putih manakala Nabila anggun bak bidadari juga menggayakan rona sama.

Sementara itu, majlis resepsi pula berlangsung tengah hari ini di lokasi sama.

Manakala sebuah lagi resepsi dijadualkan berlangsung pada 26 November ini (Ahad) bertempat di sebuah hotel di Damansara, Petaling Jaya.

Tiada lagi teka-teki, akhirnya penyanyi lagu Peluang Kedua itu menamatkan zaman bujang dengan Nik Iruwan dengan mas kahwin RM22.50.

Dianggarkan sekitar 250 tetamu hadir termasuk Ara Johari, Wany Hasrita, Khai Bahar, Hael Husaini, Sissy Iman dan Amira Othman.

Sebelum ini, penyanyi berusia 31 tahun itu mendedahkan sudah menerima lamaran lelaki pilihan hati iaitu Nik Iruwan yang  juga merupakan seorang usahawan.

Pengumuman tersebut dikongsikan menerusi laman Instagramnya bersama gambar bekas pemandu litar Formula itu melutut di hadapannya berlatarkan lagu New Chapter.

Dalam gambar tersebut mereka saling berpandangan sambil tersenyum dengan tangan masing-masing saling berpegangan dengan kapsyen bertulis: “I said yes.”

Foto berkenaan dikatakan dirakam seminggu sebelum mereka mengikat tali pertunangan Ogos lalu.

Sama cantik, sama padan, pernikahan Nabila Razali dan Nik Iruwan yang bertemakan English Wedding berlangsung di Bukit Tinggi, Pahang.

Sebelum ini, media melaporkan penyanyi lagu  Peluang Kedua itu mengikat pertunangan pada 25 Ogos lalu dalam majlis tertutup di kediamannya di Selayang.

Nabila dan Nik Iruwan, masing-masing tidak mengesahkan perkara tersebut biarpun persiapan perkahwinan termasuk busana pengantin dan layah yang bersulam huruf pangkal namanya sudah disiapkan seorang pereka fesyen terkenal. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok