MESKI impian mara ke pusingan separuh akhir program pencarian bakat, America’s Got Talent 2023 (AGT2023) tidak kesampaian, penyanyi terkena Cakra Khan tidak melihat perkara itu sebagai satu kegagalan.
Bahkan perkhabaran itu dikongsi Cakra atau nama sebenarnya Cakra Konta Paryaman, 31, di akaun X dengan menyifatkan peluang menyertai uji bakat pertandingan terbesar berkenaan sebagai pengalaman cukup berharga.
“Lihat di Instagram AGT2023, nampaknya nama saya tidak masuk dalam senarai peserta. Maafkan saya.
“Mungkin saya harus melakukan lebih banyak latihan. Terus mara ke hadapan,” tulisnya ringkas.
Pelantun lagu Kepada Hati itu turut menyeru peminat agar memberikan sokongan padu terhadap seorang lagi wakil Indonesia, Putri Ariani yang meraih ‘golden buzzer’.
“Sekarang sama-sama kita beri sokongan kepada Putri Ariani,” katanya.
Dalam ruangan komen rata-rata pengikutnya menzahirkan penghargaan di atas keberaniannya menyertai AGT musim ke-18 itu.
Malah, ramai memberikan kata- kata semangat apabila dalam ciapan terdahulu ada seorang pelayar memperkecilkan kemampuannya menyertai pertandingan tersebut.
“Anda sangat membanggakan. Tetap semangat ya Cakra Khan, jangan gentar,” tulis seorang netizen.
Pada Julai lalu, persembahannya memukau keempat-empat juri termasuk ketua juri AGT, Simon Cowell, selain meraih tepukan gemuruh penonton.
Cakra menyanyikan lagu No Woman No Cry yang dipopularkan Bob Marley menggantikan lagu Make It Rain yang dihentikan Cowell pada tengah persembahan.
Merusi persembahan tersebut, Cakra meraih empat empat ‘yes’ daripada barisan juri.
Pusingan seterusnya program yang meraih perhatian global itu bakal dilangsungkan dalam masa terdekat. – HIBGLAM