“SAYA tak pernah ada sebarang masalah dengan Che Ta dan semua ini kerja orang tak bertamadun.”
Demikian kata pelakon Wafariena yang namanya memburuk disebabkan kelab peminat ‘haram’ tidak diperakuinya menabur fitnah tentang keruntuhan rumah tangga orang lain iaitu Rozita Che Wan dan Zain Saidin.
“Memang saya geram sebab mereka gunakan nama saya untuk menabur benda yang tidak betul.
“Tidak pernah terlintas di fikiran saya ingin menabur fitnah terhadap orang yang amat saya hormati (Che Ta).
“Saya selalu beli Inai Che Ta. Dia adalah lambang wanita hebat yang ingin saya contohi,” kata Wafariena ketika dihububungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Rentetan apa yang terjadi, Wafariena atau nama sebenarnya, Wafariena Roslan membuat laporan polis di Balai Polis Kundang, Kuang, Selangor bagi membersihkan namanya dan memberi pengajaran kepada individu tidak bertanggungjawab di luar sana.
“Saya bukan nak memperbesar-besarkan isu ini tetapi perlu beri pengajaran kepada mereka di luar sana yang rasa menggunakan nama orang untuk kepentingan diri sendiri.
“Setahu saya, cuma ada dua akaun media sosial yang peminat yang saya perakui. Yang lain-lain memang tidak betul dan hanya menggunakan nama untuk kepentingan diri mereka. Bukan ‘fanclub’ saya.
“Saya sudah buat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pun akan siasat. Bukan saya seorang tetapi ramai artis jadi mangsa era digital sekarang,” katanya lagi.
Terdahulu, menurut laporan HibGlam, tindakn melampau akaun Facebook menggunakan nama Wafariena Fans Club memaparkan tajuk sensasi kononnya Rozita Che Wan atau Che Ta kerap dipukul suaminya, Zain Saidin mengundang amarah aktres itu.
Che Ta bertindak memaki hamun perbuatan tidak bermoral pihak terbabit yang sengaja meletakkan judul ‘mengundang’ semata-mata mahu mengumpan pengguna masuk ke pautan dimaksudkan.
“Wafariena Fans Club?” tulis Che Ta berkongsi hantaran tersebut menerusi laman Instagramnya berkenaan fitnah tersebut. – HIBGLAM