BUDAYA mengejek tubuh badan kian meruncing, penyanyi Sarah Suhairi berpendapat isu tersebut tidak sepatutnya menjadi bahan kritikan umum selain berharap masyarakat lebih matang dengan meletakkan fokus utama kepada seni seseorang artis.
Menurut Sarah, 26, budaya toksik berkenaan mampu meninggalkan kesan mendalam buat seseorang seperti yang menimpa rakan seindustrinya, Najwa Latif.
“Perkara ini tidak terjadi di Malaysia sahaja, di Korea Selatan lagi teruk kecaman kalau nampak ‘idol’ mereka berisi sedikit. Saya pun ‘netizen’ juga, ada di posisi sama macam pengguna media sosial.
“Sebagai pengguna media sosial, saya rasa lebih baik jika kita fokus kepada seni yang ingin disampaikan seseorang artis itu. Kenapa perlu kita tunjuk atau tulis benda yang kita tahu pasti akan memberi kesan kepada individu tersebut?
“Bagi saya, kalau ada perkara negatif yang ingin diperkatakan, lebih baik simpan untuk diri sendiri. Apabila perkara itu dibawa ke ruang awam, orang lain akan mudah tokok tambah dan seolah-olah ‘membakar’ keadaan menjadi lebih parah,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui semasa sidang media Karok Dapur, semalam.
Tambah pelantun lagu Nyawa & Raga itu, masyarakat sepatutnya lebih menghargai bakat serta karya seni yang dihasilkan seseorang penggiat seni berbanding terus menghakimi fizikal luaran mereka.
“Saya lebih suka tengok seni orang itu, apa yang orang itu persembahkan. Kalau kata orang itu pelakon, pergi tengok filem terbaharu yang ada sekarang.
“Pengarah kita, pelakon lelaki dan pelakon wanita semua hebat-hebat. Lihat apa yang orang itu ada, bakat itu sendiri,” jelasnya.
Dalam masa sama, Sarah mengakui dirinya juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa kritikan berkaitan bentuk fizikalnya yang sering dikaitkan terlalu kurus.
Malah, dia mengambil pendekatan positif serta tidak cepat melatah dengan setiap kritikan yang diterima.
“Ada juga yang bertanya, ‘Oh Sarah ini nyanyi okey, tapi kurus sangat, suami tak bagi makan ke?’. Namun, saya tidak pernah mengambil serius komen-komen sebegitu.
“Setiap kali menerima komen negatif, saya akan fikir kembali adakah betul? Jika betul dan saya boleh perbaiki diri, saya akan fokus ke arah itu.
“Apa pun yang orang mahu cakap, biarlah, asalkan saya tidak mengganggu hidup orang lain
“Kepada orang di luar sana, saya harap kita boleh fokus lebih kepada lagu yang disampaikan dan cara penyampaian seseorang penyanyi itu,” ujarnya.
Sebelum ini, Najwa Latif menerima kecaman yang menyentuh perubahan fizikalnya semasa membuat persembahan di acara Keretapi Sarong.
Bagaimanapun, ramai peminat tampil mempertahankan penyanyi kesayangan mereka dengan menegaskan perubahan fizikal tersebut adalah perkara normal selepas bergelar ibu, selain memuji kualiti vokal Najwa yang kekal cemerlang di pentas. – HIBGLAM

