PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pementasan teater muzikal Mansur & Liu arahan maestro muzik, Datuk M. Nasir sebagai antara pementasan terbaik pernah disaksikannya di negara ini.
Menurut Anwar, karya berskala besar itu mampu berdiri setanding dengan pementasan antarabangsa, sekali gus membuktikan keupayaan penggiat seni tempatan menghasilkan karya bermutu tinggi.
Malah, selaku individu yang mengikut perkembangan teater di negara ini, beliau berkata, pemerkasaan seni dan budaya juga memerlukan sokongan berterusan daripada kerajaan dan pihak swasta bagi menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk industri seni.
Bila saya sebut pertumbuhan, pembangunan ekonomi, kita bicara tentang pemerkasaan budaya. Malam ini kita telah buktikan bahawa ada pementasan tempatan yang telah meningkat ke satu taraf yang boleh dibanggakan.
“Saya rasa antara pementasan terbaik yang saya lihat dalam negara dan setanding dengan negara-negara lain di dunia.
“Apa yang perlu adalah dokongan kerajaan dan juga pihak swasta supaya ada kemudahan tambahan,” katanya ketika ditemui selepas menonton pementasan Mansur & Liu di Istana Budaya, di sini, semalam.
Pada masa sama, Anwar menzahirkan penghargaan kepada M.Nasir dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pementasan berkenaan, selain meluahkan rasa syukur kerana berpeluang menyaksikan sendiri keupayaan seni tempatan.
“Tahniah kepada sahabat saya M. Nasir dan semua yang menjayakan, luar biasa. Saya bersyukur dapat bersama-sama menyaksikan sendiri keupayaan pementasan seni tempatan,” ujarnya.
Sementara itu bagi pengarah M.Nasir selalu pengarah, dia bersyukur dan gembira apabila Perdana Menteri terhibur menyaksikan karyanya.
“Alhamdulillah. Beliau memberikan komen yang positif. Mungkin kerana beliau sendiri memahami seni teater. Sejak tahun 70an lagi beliau sudah mengikuti seni teater tempatan antaranya karya-karya Datuk Rahim Razali,” katanya.
Turut hadir menyaksikan pementasan itu Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil serta penerbit dan pengarah tersohor, Datuk Yusuf Haslam bersama isteri, Datin Patimah Ismail.
Teater muzikal Mansur & Liu berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya selama 11 hari mulai 10 September lalu dan akan berakhir malam ini.
Teater sulung arahan M.Nasir itu mengangkat kisah Sultan Melaka keenam, iaitu Sultan Mansur Shah dan Puteri Liu daripada Dinasti Ming yang diambil daripada Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu.
Mansur & Liu mempertaruhkan gandingan Aliff Aziz sebagai Sultan Mansur Shah dengan bakat baharu, Melinda Dadew yang diberi tanggungjawab menghidupkan watak Puteri Liu.
Pementasan itu turut menampilkan Amerul Affendi, Sherry Alhadad, Hazama, Taqim Zaki, Brian Chan, Fadhli Masoot, Anas Ridzuan, Arena Wan, Ruzana Ibrahim, Fiza Thomas, Taufiq Izmir, Marzuki Noh dan Shahrul Mizad. – HIBGLAM

