Mahu jalan-jalan sambil makan-makan di Malaysia – Cheng Lie

AKTOR popular China, Cheng Lei mengakui teruja apabila diberi peluang menyandang gelaran Duta Global Antarabangsa iQIYI, sekali gus membuka ruang buatnya mendekati peminat dari pelbagai negara termasuk Malaysia.

Cheng Lei berkata, pelantikan itu bukan sahaja satu penghormatan, malah memberinya peluang berkongsi karya menerusi drama-drama berkualiti di platform penstriman iQIYI.

“Saya rasa sangat berbesar hati dan betul-betul gembira. Selain itu, saya dapat bertemu dengan ramai rakan dari pelbagai tempat yang berbeza.

Memuatkan artikel berkaitan…

Saya juga berfikir tentang bagaimana mahu berhubung dengan semua orang secara lebih baik menerusi seleksi drama hebat dalam iQIYI.

“Sudah tentu saya berharap semua orang dapat memberi lebih perhatian dan menikmati pelbagai karya yang bagus di di platform ini,” katanya ketika menghadiri acara iQIYI Starship 2026 yang berlangsung di Sunway Velocity Mall, baru-baru ini.

Mengulas mengenai watak yang ingin diterokainya, Cheng Lei menyifatkan setiap karakter dibawa sebagai pengalaman mengenali rakan baharu sebelum bersama-sama melalui perjalanan hidup yang sarat dengan cerita.

“Berlakon ibarat mengenali seorang rakan baharu dan berjalan bersama melalui satu perjalanan.

Watak-watak yang kita hasilkan untuk drama selalunya berada dalam fasa kehidupan mereka yang paling gemilang dan penuh dengan penceritaan.

“Apabila anda dapat menemaninya menyelesaikan fasa kehidupan yang paling bermakna dan penuh peristiwa ini, anda akan rasa sangat berbesar hati dan gembira,” ujarnya.

Ditanya sekiranya berpeluang menjemput salah satu watak lakonannya untuk menghabiskan masa sehari bersamanya di Kuala Lumpur, Cheng Lei tanpa ragu memilih Zhang San atau Xiahou Dan dalam drama How Dare You!.

Menurutnya, watak berkenaan lebih mudah menyesuaikan diri dengan kehidupan moden kerana asalnya merupakan manusia dari zaman moden.

Saya rasa saya akan pilih Zhang San, iaitu Xiahou Dan. Ini kerana dia datang dari zaman moden, jadi tidak perlu mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri berbanding watak seperti Xiao Jue atau Jing An.

“Memandangkan kita hanya ada masa sehari, kalau Xiao Jue atau Jing An yang datang, saya rasa kita mungkin tidak dapat keluar berjalan-jalan langsung. ‘Ini apa? Itu apa?’” selorohnya.

Nikmati kopi

Pelakon berusia 32 tahun itu membayangkan dirinya membawa Xiahou Dan meneroka Kuala Lumpur, menikmati makanan tempatan dan mengunjungi lokasi menarik sepanjang sehari.

Saya boleh tunjukkan kepadanya dunia moden yang sudah lama tidak dilihatnya. Lagipun dia mungkin belum pernah ke Kuala Lumpur, jadi kami boleh pergi meneroka bersama-sama untuk melihat makanan sedap dan tempat menarik di negara ini.

“Saya boleh mengambil beberapa keping foto untuknya supaya jika dia perlu pulang semula nanti, dia boleh membawanya bersama.

“Manalah tahu, kita dapat lihat bilik beradu Xiahou Dan ada sekeping foto Kuala Lumpur tergantung di sana,” ujarnya.

Sementara itu, berkongsi mengenai cara menghabiskan masa lapang, Cheng Lei berkata, aktiviti kegemarannya bergantung kepada lokasi yang dikunjunginya.

Bagaimanapun, jika diberikan sehari cuti ketika berada di Malaysia, perkara pertama yang mahu dilakukannya adalah menikmati kopi sebelum keluar bersarapan dan berjalan-jalan.

“Kalau saya berada di Malaysia sekarang, saya rasa bila saya bangun esok, perkara pertama ialah minum kopi. Kemudian sarapan di luar hotel, menikmati suasana masyarakat tempatan.

Selepas itu berjalan-jalan, menikmati pemandangan sekitar dan mengambil gambar. Paling utama berjalan-jalan sambil makan-makan (gwang-chi).

“Saya rasa masa sehari mungkin tidak mencukupi untuk meneroka tempat-tempat manarik di Malaysia,” kongsi bintang drama Shadow Love Legend of the Female General serta My Journey to You itu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok