VOKALIS Hujan, Noh Salleh bakal mengakiri status duda pada 23 September ini selepas empat bulan bertunang dengan pilihan hatinya, Fatin Athira Mustapa, 30.
Kad undangan hari bahagia pasangan itu sudah pun mula diedarkan.
Menerusi jemputan secara digital itu, majlis resepsi Noh dan peguam yang juga anak kepada pesara tentera tersebut akan berlangsung di sebuah dewan acara di Puchong, Selangor bermula jam 8 malam.
Difahamkan, majlis ijabkabul pasangan sama padan itu dilaksanakan pada sebelah pagi hari yang sama.
Terdahulu, Noh atau nama sebenarnya, Mohammad Noh Salleh, 38, dan Fatin mengikat pertunangan di kediaman wanita itu di Putra Heights, Subang Jaya pada 7 Mei lalu.
Pada majlis yang turut disekalikan dengan rumah terbuka Syawal itu, keluarga terdekat Noh turut datang dari Kuching, Sarawak membawa bersama dulang hantaran.
Sebelum ini, penyanyi merangkap komposer itu mendirikan rumah tangga dengan penyanyi, Mizz Nina atau Shazrina Azman, 40, pada 2 Julai 2011, namun bercerai awal Ogos tahun lalu.
Pada 15 Jun lalu bekas isterinya mengumumkan sudah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi dari Amerika Syarikat, Essam Muhammad dalam sebuah majlis tertutup.
Pasangan tersebut tidak dikurniakan cahaya mata tetapi memiliki seorang anak angkat, Musa yang diperkenalkan kepada umum sekitar April tahun lalu.. – HIBGLAM