Tiada sengketa, Black Dog Bone restu Jatt bergerak solo

TIADA sengketa, penyanyi Jatt Ali menangkis dakwaan berlaku keretakan hubungan dalam kumpulan Black Dog Bone sehingga dia bergerak secara solo selepas lima dekad bersama.

Jatt atau nama sebenarnya Tahir Ali, 70, berkata keputusan meneruskan kerjaya nyanyian sendirian adalah atas restu anggota lain memandangkan mereka kini tidak lagi mampu meneruskan legasi band terbabit disebabkan masalah kesihatan.

“Memang ada pihak menawarkan Black Dog Bone untuk mengadakan konsert reunion selepas kali terakhir kami berakdi di pentas mega sebelum serangan Covid-19, namun tidak dapat direalisasikan.

“Impian ada, cuma kami sudah tidak boleh buat reunion seperti band lain. Anggota kumpulan ini ramai yang sudah enggan lagi aktif atas beberapa faktor terutama umur dan kesihatan.

“Sebenarnya mereka yang bagi restu untuk saya tampil solo. Insya-Allah saya teruskan perjuangan ini selagi diberikan kudrar,” katanya selepas sidang media Konsert XPDC KPY Headbang Live & Loud di Odeon, di sini, semalam.

Akui vokalis asal Singapura itu, persahabatan antara semua anggota Black Dog Bone juga tetap utuh seperti dulu malah meluangkan masa berhimpin hampir sebulan sekali.

“Setiap bulan pun kami berjumpa, makan-makan, berbual dan mengimbau semula perjalanan kerjaya kami sebelum menubuhkan Black Dog Bone lagi.

“Kami ketawa dan menangis bersama mengenangkan perjalanan hidup bersama sejak sebelum bergelar anak seni lagi sampailah sekarang. Banyak suka duka kami kongsi bersama.

“Bayangkan hampir seluruh usia kami berkawan. Saya anggap semua pengalaman serta pengembaraan ini sebagai momen paling indah untuk dikenang hingga ke anak cucu,” katanya.

Bersyukur terus diterima biarpun muncul ramai penyanyi dan kumpulan baharu, Jatt juga datuk kepada lapan cucu itu menyifatkan legasi diteruskannya sebagai perkongsian untuk pendengar muzik.

“Saya gembira jika ada peminat muda yang mengenali dan mendengar lagu
Black Dog Bone. Ini satu kepuasan sekali gus kerana dendangan kami kekal menjadi siulan.

“Tentang nama pula, saya tak kisah kalI orang panggil Jatt Black Dog Bone, begitu juga kawan-kawan lain. Band ini kami tubuhkan bersama, jadi kita sama-sama hargai apa yang dibina selama ini.

“Cuma sekarang, boleh juga panggil saya Jatt Ali. Anggota band yang lain okay, tidak ada masalah sama ada saya hendak guna nama Black Dog Bone atau tidak, terpulang,” ujarnya.

Selain Jatt, Black Dog Bone yang ditubuhkan pada 1973 itu turut dibarisi Razzi M (gitar), Hamid Ahmad (bes), James Chau (saksofon), Michael Heng (keyboard) serta Allahyarham Masron Ali. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok